Dr Toh (tiga kiri) ketika menerangkan kajian klinikal vaksin COVID-19 Sinovac yang dijalankan di CRC Hospital Sibu kepada Aaron sambil diperhatikan Dr Rachel (kiri).
SIBU: Seramai 663 peserta di Malaysia telah mengambil bahagian dalam kajian klinikal vaksin COVID-19 Sinovac untuk kanak-kanak berumur antara tiga hingga 11 tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang berkata jumlah tersebut melibatkan 339 peserta di Hospital Sibu, Hospital Miri (169), Hospital Wanita Kanak-Kanak Sabah (51) dan Semenanjung Malaysia (104).
"Kajian klinikal vaksin COVID-19 Sinovac di Sarawak dijalankan di Hospital Sibu dan Hospital Miri. Setakat ini, seramai 508 orang peserta telah terlibat dalam kajian di Sarawak.
"Seramai 169 peserta mengambil bahagian dalam kajian klinikal yang dijalankan Hospital Miri bermula 28 Oktober lepas.
"Hospital Sibu yang diketuai Ketua Pusat Kajian Klinikal (CRC) Profesor Dr Toh Teck Hock telah memulakan kajian pada 4 November dengan penyertaan seramai 339 peserta," jelasnya.
Aaron berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke lokasi kajian klinikal vaksin COVID-19 Sinovac kanak-kanak berumur antara tiga hingga 11 tahun di CR Hospital Sibu di sini hari ini.
"Kita menyasarkan seramai 2,000 peserta akan mengambil bahagian dalam kajian ini di Malaysia. Di Sarawak, sasaran 410 peserta untuk Hospital Sibu dan 250 peserta untuk Hospital Miri," ujarnya.
Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit memberitahu kajian klinikal yang bermula akhir bulan Oktober telah dijalankan di 10 lokasi.
"Lokasi kajian terlibat ialah Hospital Sibu, Hospital Miri, Hospital Sungai Buloh, Hospital Seberang Jaya, Klinik Kesihatan Cheras Baru, Klinik Kesihatan Pandamaran, Hospital Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, University of Malaya Medical Centre, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.
"Kajian klinikal ini dibangunkan oleh Sinovac Life Sciences Co. Ltd (Sinovac), ialah vaksin penyelidikan yang sedang diuji dalam kajian ini. Dalam kajian ini, kita ingin menentukan sama ada ia selamat dan berkesan dalam mencegah jangkitan COVID1-9 untuk kumpulan umur ini," katanya.
Menurutnya, keputusan kajian klinikal akan diketahui dalam tempoh seawal enam bulan hingga setahun.
Sementara itu, Dr Toh berkata daripada 339 peserta di CRC Hospital Sibu, seramai 114 peserta telah menerima dua dos vaksin kajian.
"Kita memperlawa ibu bapa yang berminat untuk anak-anak mereka mengambil bahagian dalam kajian klinikal agar dapat mencapai target secepat mungkin. Kita akan berkongsi dengan lebih teliti beberapa perkara sebelum kajian dilakukan.
"Mereka yang berminat boleh menghubungi CRC Hospital Sibu di talian 084-314596 setiap hari termasuk hujung minggu," jelasnya.
Hadir sama pada sidang media ialah Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng Li Chin.
utusanborneo.com.my/2021/12/11
|