NOTIS: Pegawai penguatkuasa KPDNHEP memberikan notis kepada pihak restoran yang menjual minuman pada harga tinggi.
PERIKSA: Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan.
KOTA KINABALU: Sebuah restoran yang menjual minuman jenis nescafe sejuk setinggi RM5.50 serta kopi o sejuk RM4.20 di sini diarahkan untuk memberikan maklumbalas justifikasi kenaikan harga minuman berkenaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Georgie Abas berkata pihaknya menerima aduan daripada pengunjung di restoran berkenaan yang mendakwa pihak restoran meletakkan harga minuman yang naik mendadak di restoran terbabit.
“Bertindak dengan aduan, sepasukan penguatkuasa KPDNHEP digerakkan ke restoran terbabit sebelum pihak restoran diberikan Notis Pengesahan Maklumat Harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“KPDNHEP memberikan tempoh dua hari kepada pemilik premis untuk memberikan maklumbalas justifikasi kenaikan harga minuman berkenaan,” katanya.
Sementara itu, KPDNHEP sebelum ini juga sudah mengeluarkan notis sama terhadap sebuah restoran yang menjual minuman lemon tea sejuk pada harga RM3.50 segelas di salah sebuah restoran di sekitar ibu negeri.
Dalam perkembangan sama KPDNHEP turut menjalankan Pemeriksaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PON) di seluruh Sabah.
Georgie berkata pemeriksaan mengikut Akta 342 itu adalah bagi memeriksa bekalan dan harga barangan keperluan asas di negeri ini bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan yang sudah ditetapkan oleh peniaga.
“Hasil pemeriksaan mendapati gerai dan premis perniagaan mematuhi SOP yang ditetapkan dan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta boleh didapati di gerai dan premis yang diperiksa.
“Tiada pelanggaran dikesan dalam pemeriksaan berkaitan Ops Menu, Ops Pasar dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2021 yang dilakukan di beberapa premis tumpuan ramai,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/10
|