KOTA KINABALU: Peningkatan harga bahan simen di Sabah sekali gus akan menyebabkan kenaikan harga rumah diantara lima sehingga 10 peratus.
Presiden Persatuan Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) Datuk Chua Soon Ping berkata, kenaikan itu memaksa pemaju menaikan harga jualan hartanah.
"Sabah hanya mempunyai satu pengeluar simen sahaja iaitu Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS). Peningkatan harga simen oleh syarikat berkenaan adalah sebanyak RM45 per tan metrik (MT) bermula semalam.
"Oleh itu, harga bahan berkenaan meningkat dari RM297.20 per MT kepada RM 342.20 per MT," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, kenaikan mendadak itu secara langung memberi impak besar kepada pemaju di Sabah memandangkan simen adalah bahan asas dan utama digunakan untuk membina sebanyak 50 peratus bangunan.
Selain itu katanya, bahan binaan lain seperti batang keluli, paip pvc serta bahan binaan berkaitan lain juga telah meningkat sebanyak 20 sehingga 30 peratus.
"Bagaimana pemaju dapat mengurangkan kos pembinaan sekiranya bahan binaan meningkat sehingga 30 peratus," katanya.
Menurutnya, walaupun Bajet 2022 memperuntukan RM2 bilion pinjaman kredit kepada kumpulan B40 untuk memiliki rumah, tetapi dengan kenaikan bahan-bahan binaan, tujuan itu tidak akan tercapai.
Katanya, rumah mampu milik tidak lagi mudah untuk dibangunkan oleh syarikat swasta sekiranya kerajaan hanya menawarkan subsidi sahaja.
"Oleh itu, kami menggalakkan para ahli persatuan ini untuk membina lebih banyak perumahan teres bagi memenuhi permintaan tinggi kepada mereka yang mampu sahaja," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|