[size=0.8]Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 30, 2021 @ 4:12pm[email protected]
Mahdzir menyampaikan hadiah johan kategori Kemas Kids Top Host kategori lelaki kepada Rizq Al Fateh Sarizal dari negeri Melaka pada Majis Penutupan dan Penyampian Hadiah Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan di Hotel Raia, Alor Setar. Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin (kiri). - Foto NSTP/ Luqman Hakim Zubir
ALOR SETAR: UMNO sedaya upaya akan berusaha mengelak berlaku pertembungan antara calon parti itu dan calon parti yang pernah bekerjasama bersamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ketika ini usaha perbincangan bersama pihak terbabit sedang dilakukan dan keputusan mengenainya akan diumumkan selepas ini.
"Ada dua benda saya nak cakap, pertama jika boleh dan sedang diusahakan agar tidak berlaku pertembungan. Kedua kita sedang lakukan rundingan dan perbincangan," katanya pada sidang media, hari ini.
Teradahulu beliau menghadiri Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021.
Rabu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRN Melaka yang dijadual 20 November ini.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat berikutan beliau menghormati ketetapan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.