KUCHING: Sarawak dijangka membeli pil anti COVID-19 sebaik sahaja ia diluluskan serta telah tersedia dibekalkan kepada negara ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata, ia inisiatif kerajaan dalam usaha memastikan keselamatan rakyat negeri ini terus terjaga daripada virus penyakit terbabit.
"Kini pil anti COVID-19 sudah ada dan bagi Sarawak saya telah memberitahu kepada Datuk Amar Douglas Uggah dan Dr Sim (Dato Sri Dr Sim Kui Hian) untuk membeli pil jika sudah mendapat kelulusan.
"Mudah-mudahan ia dapat membantu melawan varian baharu dan pada masa yang sama saya menasihatkan kepada rakyat kita agar terus berhati-hati serta berwaspada dengan varian baharu COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Negeri bagi Kampung Semariang di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu di sini, hari ini.
Hadir sama majlis Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) juga ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sebelum ini Kementerian kesihatan (KKM) menandatangani surat akujanji pembelian 150,000 pakej ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme bagi merawat pesakit COVID-19.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata keputusan tersebut dibuat sebagai persediaan memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus COVID-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baru bagi melawan COVID-19.
"Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu," katanya.
Dalam pada itu, Khairy mengingatkan sekalipun ubat Molnupiravir berkesan merawat Covid-19, ia tidak bermakna vaksin tidak diperlukan lagi.
utusanborneo.com.my/2021/10/29
|