KENANGAN: Mohammad Arif (duduk dua kiri) bersama Mistirine (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama focal person daerah.
KOTA KINABALU: Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik 'focal person' di setiap daerah di negeri ini satu pendekatan terbaik dalam menangani masalah pelajar sekolah keciciran dalam pelajaran khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Focal Person Kebangsaan KPM Sabah Mohammad Arif Sakaran berkata, isu keciciran dalam pembelajaran melibatkan murid di Sabah masih lagi tinggi dan ia turut dihadapi negeri lain di seluruh negara.
Katanya, masalah berkenaan bukannya isu baharu malah ia sudah lama berlaku. Justeru, beberapa program membabitkan pendidikan sedang dibincangkan dan bakal dilaksana bagi menyelesaikan masalah terbabit.
Menurutnya, banyak faktor yang perlu diambil kira bagi menangani masalah itu termasuklah faktor Sabah yang mempunyai kawasan yang luas dengan bentuk geografi berbukit-bukau.
Sehubungan itu beliau berkata, kerjasama daripada semua focal person di semua 24 daerah di negeri ini amat diperlukan untuk membantu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengatasi setiap masalah berkaitan pendidikan.
Mohammad Arif berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Bersama Focal Person KPM dan Penyampaian Sijil Focal Person Negeri Sabah di sini semalam.
Dalam pada itu jelasnya, semua persediaan khususnya melibatkan prosedur operasi standard (SOP) giat dilaksanakan sebagai persediaan pembukaan semula sekolah.
Katanya, persediaan berkenaan melibatkan murid pra-sekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, dan Program Pendidikan Khas Integrasi di negeri Sabah.
Menurutnya, aspek keselamatan murid menjadi keutamaan dan semua persediaan yang berkaitan dibuat lebih awal untuk menerima kemasukan murid.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin.
utusanborneo.com.my/2021/10/2
|