DUTA: Jafry (tengah) menyampaikan sijil pelantikan Duta Pelancongan Sabah kepada Chong Wei (kanan) pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Bekas pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dilantik sebagai Duta Pelancongan Sabah bermula Oktober 2021 hingga Disember 2022.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin berkata, Lee Chong Wei adalah seorang ikon yang terkenal dan memiliki ramai peminat di seluruh dunia.
Katanya, pelantikan berkenaan membentuk jalinan kerjasama yang akan memperkenalkan tarikan pelancongan Sabah kepada dunia menerusi peminat dan hubungan global bekas jaguh badminton negara itu.
Menurutnya, sebagai langkah pertama, pihak kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan membawa Lee Chong Wei dan keluarga meneroka destinasi pelancongan menarik di negeri ini untuk dikongsikan bersama para peminatnya di seluruh dunia.
"Saya bersama rombongan kementerian juga berkesempatan membawa beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor. "Menerusi kunjungan hormat itu, berkemungkinan ada perbincangan ke arah untuk menubuhkan Akademi Datuk Lee Chong Wei di Sabah.
"Perkara ini jika direalisasikan mampu membantu industri pelancongan Sabah memandangkan ia bagus untuk rakyat Sabah yang berminat dalam sukan badminton dan mungkin boleh dijadikan pusat latihan bagi pelancong atau pemain dari luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis taklimat dan makan tengah hari bersama Duta Pelancongan Sabah Datuk Lee Chong Wei anjuran STB di sini hari ini.
Jafry berkata, pemilihan Chong Wei untuk menjadi Duta Pelancongan Sabah kerana prestasi global yang cemerlang dalam arena sukan badminton di peringkat antarabangsa dan memiliki ramai peminat di seluruh dunia khususnya di Asia Tenggara, Asia Pasifik, China, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan juga United Kingdom.
Menurutnya, negara-negara berkenaan adalah sebahagian daripada pasaran tradisi dan penyumbang terbesar untuk ketibaan pelancong ke Sabah.
"Ini tentunya menjadi berita baik untuk semua dan menjanjikan propek terbaik buat industri pelancongan Sabah. Dengan pencapaian cemerlang beliau, kerajaan negeri yakin peranannya sebagai Duta Pelancongan Sabah akan membantu melonjakkan industri pelancongan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang," jelasnya.
Sementara itu Chong Wei turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pelantikannya sebagai Duta Pelancongan Sabah.
Beliau berharap, peranannya itu akan membantu dalam meningkatkan industri pelancongan di Sabah lebih-lebih lagi keadaan industri yang sukar dalam tempoh dua tahun ini berikutan pandemik COVID-19.
"Saya tahu Sabah begitu terkenal kerana saya selalu mengikuti pertandingan di China dan Taiwan. Ramai yang tahu mengenai negeri ini.
"Sabah juga sebuah negeri yang besar dan mempunyai banyak daya tarikan. Saya berharap boleh bawa keluarga saya datang ke sini untuk melawat lebih banyak kawasan pelancongan yang menarik.
"Saya juga akan memperkenalkan Sabah kepada kawan-kawan untuk datang mengunjungi negeri ini sebagai salah satu usaha dalam membantu pelancongan Sabah dan juga kerajaan," katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|