Edited by Vellfire at 27-10-2021 07:22 AM
RAMPAS: 1,890 karton minuman keras dipercayai tidak bercukai bernilai RM475,883 yang dimuatkan di dalam kontena sepanjang 12 meter.
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) sekali lagi merampas sejumlah minuman keras bernilai RM475,883 dalam satu serbuan di KKIP Timur, di sini semalam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata kesemua minuman keras yang dipercayai tidak bercukai itu disembunyikan di dalam sebuah kontena sepanjang 12 meter.
Beliau berkata operasi serbuan dijalankan pasukan Tiger Platon Batalion 16 dan cawangan perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah kira-kira jam 10 malam berdasarkan hasil maklumat awam.
“Semasa serbuan itu, kontena berkenaan dikesan ditinggalkan bersama sebuah lori treler dalam keadaan berkunci tanpa penjaga.
“Sebaik menjalankan pemerhatian selama tiga jam, pasukan operasi terus melakukan serbuan dan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan,” katanya.
Menurutnya hasil pemeriksaan menemukan 1,890 karton minuman keras dipercayai tidak bercukai bernilai RM475,883 dan kesemua barangan terbabit dirampas sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
Abdul Rani berkata jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori treler dan kontena dianggarkan bernilai RM595,833 berdasarkan harga pasaran semasa.
Tambahnya siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|