|
Dua beradik antara tiga maut dalam kemalangan
ZULHISHAM ISAHAK | | 27 Oktober 2021
Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki kemalangan dengan sebuah kereta lain dan sebuah motosikal berhampiran Kampung Melayu Raya, Segamat, pada malam Selasa.
SEGAMAT - Tiga maut termasuk dua beradik manakala seorang cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal berhampiran Kampung Melayu Raya di sini pada Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku jam 8.20 malam melibatkan kereta Ford Fiesta, pacuan empat roda Mitsubishi Storm dan sebuah motosikal.
"Kemalangan berlaku apabila Ford Fiesta dari arah Labis ke Segamat hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal dari arah yang sama.
"Kemudian Ford Fiesta terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Mitsubishi Storm.
"Akibat kemalangan itu, dua beradik iaitu pemandu Ford Fiesta, Thomas Tio Jia Wang, 19, dan penumpang, Tio Kah Yong, 20, meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.
Katanya, pemandu Mitsubishi Storm, Ab Razak A Ghani, 60-an, cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hosital Segamat.
Menurutnya, lelaki yang menunggang motosikal itu pula cedera dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.29 malam.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pihak bomba bertindak mengeluarkan dua mangsa tersepit dalam kereta tersebut sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut.
"Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada jam 11.35 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... ut-dalam-kemalangan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|