[size=0.8]Oleh Safuri Kamarudin - Oktober 27, 2021 @ 12:45pm[email protected]
Titi di Kampung Padang Che Mas runtuh akibat hujan lebat malam tadi. - Foto NSTP/SAFURI KAMARUDIN
BALING: Lebih 1,000 penduduk Kampung Padang Che Mas, Pulai di sini, terputus hubungan selepas titi ke pekan Baling runtuh, akibat dilanda arus deras malam tadi.
Titi sepanjang tiga meter itu runtuh 11 malam tadi, selepas hujan lebat sejak jam 5 petang semalam.
Seorang penduduk, Hassan Aziz, 49, berkata semua kenderaan tidak boleh keluar kerana laluan berkenaan satu-satunya jalan bagi penduduk untuk keluar ke pekan Baling.
"Mujurlah penduduk yang tinggal berdekatan sedar titi runtuh dan membantu menjaga jalan berkenaan bagi mengelak kenderaan jatuh ke dalam parit," katanya ketika ditemui hari ini.
Hassan berkata, penduduk berharap pihak berwajib dapat segera membantu membaiki titi berkenaan bagi memudahkan mereka melakukan urusan harian.
Seorang lagi penduduk, Mohd Faizal Wan Haris, 50, berkata mujur tidak ada kejadian buruk berlaku kerana titi berkenaan runtuh pada waktu malam.
Katanya, semua kenderaan yang cuba masuk ke kampung pagi tadi, termasuk van membawa pekerja kilang terpaksa berhenti di luar kampung, sebelum mereka berjalan kaki kira-kira dua kilometer ke rumah.
Sementara itu, Ketua Kampung Padang Che Mas, Mohd Sharuddin Ghazali, berkata kejadian berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib.
"Kita akan cuba minta perkara ini diselesaikan secepat mungkin," katanya.