[size=0.8]Oleh Ahmad Hasbi - Oktober 27, 2021 @ 10:49am[email protected]
SEREMBAN: Seorang guru tadika tertipu ketika berurusan membeli seekor kucing baka Scottish Fold secara dalam talian, dan menanggung kerugian hampir RM70,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata mangsa melihat iklan di laman facebook Sabtu lalu mengenai kucing berkenaan yang berada di Indonesia, sebelum menghubungi penjualnya dan bersetuju untuk membeli pada harga RM900.
Katanya, dalam proses penghantaran dari Indonesia, mangsa yang berusia 25 tahun diminta untuk membayar wang bagi pelbagai prosedur.
"Mangsa berurusan dengan penjual kucing berkenaan di talian +62 895-3241-29741 dan membayar separuh daripada harga kucing kerana bakinya dibayar selepas mendapat haiwan itu.
"Wanita berkenaan membuat pemindahan wang berjumlah RM450 ke akaun Hong Leong Bank atas nama Tansiaupenga Siagian, sebelum dimaklumkan kucing yang dibeli sudah dihantar ke alamatnya.
"Sepanjang proses penghantaran, mangsa dikehendaki membayar sejumlah wang kononnya sebagai prosedur dan sehingga kini membuat 14 transaksi berjumlah RM69,030 pada Sabtu dan Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Aibee berkata, sehingga kini mangsa tidak mendapat kucing yang dibeli, malah bimbang identitinya disalah guna kerana menyerahkan salinan kad pengenalan serta alamat kepada suspek.
"Mangsa membuat laporan polis kerana rasa tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.