Ismail Sabri: Belanjawan 2022, peruntukan untuk Sarawak tunggu saya umumkan
Ismail (tengah) bersama Abang Johari (kiri) dan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) pada sidang media selepas melawat tapak projek Hospital Petra Jaya. -Gambar PENERANGAN
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata akan ada berita baik untuk Sarawak dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen minggu depan.
"Insya Allah, tunggu ya. Kalau saya umumkan hari ini, kamu tak nak dengar lagi (semasa pembentangan). Tunggulah ya," katanya menjawap soalan diajukan pemberita mengenai Belanjawan 2022 pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Projek Hospital Petra Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Ketua Menteri di sebuah hotel di sini yang dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta pemimpin-pemimpin negeri yang lain.
Beliau dalam sesi lawatan pertamanya ke Sarawak setelah dilantik Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021.
Belanjawan 2022 yang akan dibentang pada 29 Oktober ini antara lain akan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi masyarakat luar bandar.
Ismail berkata pembangunan luar bandar di Sarawak khasnya dari aspek utiliti dan jalan raya perlu dipertingkatkan ia termasuk keperluan menaik taraf serta membina sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak.
"Apa yang dibangkitkan tadi (semasa Taklimat Pembangunan Negeri oleh Unit Perancang Ekonomi), keperluan pembangunan luar bandar di Sarawak dari segi utiliti begitu juga jalan-jalan luar bandar perlu dipertingkatkan.
"Saya juga dimaklumkan mengenai keperluan menaik taraf dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak termasuk kuarters guru dan sebagainya yang memerlukan perhatian segera.
"Saya telahpun memberi komitmen kepada negeri Sarawak, kita akan membantu dari segi pembangunan luar bandar," ujarnya.
Beliau juga memberitahu telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negera berbincang segera dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti isu-isu pembangunan luar bandar Sarawak.
"Kalau boleh kita diberitahu pada hujung Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) perkara-perkara yang dibangkitkan tadi dapat diselesaikan.
"Insya-Allah Kerajaan Persekutuan akan membantu dengan sebaik-baiknya pembangunan negeri ini terutamanya melibatkan infrastruktur luar bandar dan sebagainya," tambahnya.
Ismail berkata fokus utama lawatan pertamanya ke Sarawak adalah untuk mendapat gambaran sebenar mengenai pembangunan negeri ini.
"Secara keseluruhannya, tadi saya diberi taklimat perancangan membangunkan negeri Sarawak sehingga 2030.
"Jadi saya mendapat gambaran sebenar mengenai pembangunan juga dari segi permasalahan yang timbul, pembangunan yang memerlukan bantuan serta sokongan daripada kerajaan persekutuan khasnya dari segi dana," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/23
|