TAHAN: Dua suspek lelaki yang ditahan bersama rokok dan minuman keras dalam Op Kontraban di Kudat. (Gambar ihsan PGA Sabah).
RAMPAS: Rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas pasukan PGA menerusi Op Kontraban di Kudat. (Gambar ihsan PGA Sabah).
KUDAT: Tindakan dua lelaki menyembunyikan sejumlah rokok dan minuman meras dipercayai tidak bercukai bernilai lebih RM150,000 membawa padah selepas ditahan dalam serbuan Ops Kontraban di sini pagi tadi.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata bertindak dengan maklumat risikan pihaknya menahan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis kompak berhampiran Pasar Besar Kudat, di sini kira-kira jam 11.26 pagi.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu menemukan beberapa karton rokok dipercayai diseludup sebelum kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan.
“Suspek kemudiannya membawa pasukan serbuan ke kawasan lapang yang dijadikan tempat penyimpanan barangan terbabit iaitu sebuah kontena yang diletakkan di Jalan ACC Government Quarters, di sini,” katanya.
Menurutnya hasil siasatan di dalam kontena itu menemukan ratusan karton rokok dan minuman keras yang disyaki tidak bercukai.
“Semua barangan berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM150,000 kemudiannya dirampas siasatan lanjut,” katanya.
Abdul Rani berkata, pemeriksaan badan terhadap kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang kesalahan dan suspem dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan selanjutnya.
“Dua kenderaan turut dirampas bagi membantu siasatan dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM183,226.05 berdasarkan harga pasaran semasa. “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/21
|