[size=0.8]Zuliaty Zulkiffli - Oktober 19, 2021 @ 6:27pm[email protected]
ALOR SETAR: Seorang kontraktor yang dipercayai sedang melakukan pendawaian elektrik maut selepas terkena renjatan elektrik di sebuah premis industri di Jalan Perusahaan 9, Bandar Baru Mergong, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan khidmat khas itu pada jam 4.09 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Zulkifli Md Isa tiba di lokasi sejurus selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu.
"Operasi disertai lapan anggota termasuk penyelia bersama sebuah jentera dan dua buah motosikal RIM.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis industri terbabit.
"Mangsa adalah kontraktor yang dilantik premis kilang berkenaan untuk melakukan tugas di situ ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dikenali sebagai Ooi Cheng Siong, 59, dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.