[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 18, 2021 @ 9:12am[email protected]
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) melakukan pemeriksaan di sebuah bilik di pusat hiburan di Mergong yang diserbu kerana melanggar SOP beroperasi secara haram.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Hasrat seorang lelaki untuk melamar teman wanitanya dalam sebuah bilik di pusat hiburan di Mergong, di sini, malam tadi, terbantut apabila premis itu diserbu polis.
Serbuan dilakukan jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, kerana premis itu melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ini berikutan, pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua.
Dalam serbuan itu, 21 individu yang terdiri daripada pelanggan pusat hiburan itu masing-masing dikompaun RM2,000, manakala penganjur pula RM25,000 kerana melanggar SOP.
Serbuan mengejut itu turut disertai Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat serta Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari serta ketua jabatan dari IPK Kedah.
Kamarul Zaman berkata, kesemua berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk seorang daripadanya pekerja warga Myanmar dan penganjur premis berkenaan.
Beliau berkata, kebanyakan mereka melakukan kesalahan termasuk tidak mendaftar My Sejahtera, berkumpul dan berhibur dalam bilik tanpa penjarakan fizikal serta ada yang masih belum divaksin.
"Pemeriksaan dilakukan dalam setiap bilik di pusat hiburan berkenaan dan mendapati mereka gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Kesemua mereka dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian saringan air kencing," katanya pada sidang media sejurus serbuan.