Post Last Edit by t@t at 6-5-2010 09:28
Wanita terkejut kenderaan dipandu terbakar, meletup
| Sebuah kereta Toyota Estima meletup dan terbakar dipercayai akibat litar pintas di Simpang Pulai, Ipoh, semalam.
|
IPOH 5 Mei - Seorang wanita terkejut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) milik abangnya yang rosak dan sedang dibaiki tiba-tiba terbakar dan meletup di Jalan Simpang Pulai-Ipoh, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu, enjin Toyota Estima yang dipandu Norlaila Zakaria, 34, mati tiba-tiba dan mengeluarkan api di bahagian depan. Menurutnya, seorang mekanik cuba membantunya untuk menghidupkan semula enjin kenderaan itu namun ia tiba-tiba menyala sebelum meletup. Menceritakan kejadian cemas itu, Norlaila berkata, dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendapati lantai kenderaan tersebut panas.
"Ketika sedang memandu saya dapat rasakan bahagian lantai kenderaan itu panas dan enjin berhenti tiba-tiba. "Selepas lebih 10 minit, ada mekanik cuba bantu untuk hidupkan semula enjin tetapi percikan api keluar di bahagian depan. Tidak sampai beberapa saat api mula marak," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Ujar Norlaila, dia yang panik dengan insiden tersebut terus menyelamatkan diri sementara mekanik terbabit berusaha memadamkan kebakaran itu menggunakan alat pemadam. Namun katanya, dia bersyukur kerana kejadian tersebut tidak berlaku semasa dia sedang memandu dan berjaya menyelamatkan diri.
Kebakaran dan letupan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan lebih 20 minit. Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Azizi Abdul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.48 pagi dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian. Ujarnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 10 minit dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera bomba.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_05.htm |