CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3227|Reply: 2

CERPEN: Hidup Revolusi!

 Close [Copy link]
Post time 18-1-2010 03:09 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by homer_simpson at 18-1-2010 15:19

[2013]

Suatu petang di hadapan SOGO….

“Hidup Revolusi! Hidup Revolusi!”

“Sahabatku sekalian! Ketahuilah oleh kalian bahawa hari ini, saat ini, kita bertemu di dalam satu perkumpulan, dengan satu tekad, satu keazaman, satu kekuatan!”

“Ingat lah, hari ini kita akan bersatu meruntuh kezaliman mereka! Mereka boleh bedil kita dengan meriam-meriam itu! Mereka boleh lemaskan kita dengan tear gas itu! Mereka boleh banjirkan ibu kota ini dengan water cannon itu! Tapi ingatlah! Mereka tak mungkin dapat meluntur semangat revolusi kita!”

“Hari ini, setelah kesabaran kita susun setingkat demi setingkat. Kita susun dengan batu bata masa. Dan sekarang, tiada lagi batu bata yang dapat kita susun untuk membina tembok kesabaran itu. Sabar kita sudah sampai ke puncak! Hari ini kita akan berdepan dengan mereka!”

“Kalau sahabat masih ragu-ragu, putarlah ingatan kalian kepada apa yang berlaku di Semanggi! Ingatlah apa yang berlaku di Trisakti! Ingatlah apa yang berlaku di Tiananmen! Ingatlah Iran! Ingatlah Poland!”

“Kalau mereka yang sebelum kita boleh menghancur kezaliman yang lebih hebat, menumbang empayar yang rakus, kenapa kita tidak boleh?!”

“Sudah masanya! Hari ini, KITA BERDEPAN MATA BERTEMU MATA! KITA MENANG, ATAU HANCUR SELAMANYA!”

“HIDUP REVOLUSI! HIDUP REVOLUSI!”



(2009 - di Darul Hikmah, UIAM)

“Aku tak setuju dengan idea mu tentang revolusi.”

“Apaaku peduli tentang pendapatmu? Revolusi tidak memerlukan persetujuan mu.Bila tiba masa kau juga akan terlibat, suka atau tidak. Revolusi itu umpama sebuah keretapi yang meluncur laju di sebatang lorong sempit. Dan kita, umpama berdiri di tengah lorong sempit itu. Samada kau lompat ke atas keretapi itu, atau bersedialah untuk ke kubur mu. Aku tahu, orang seperti kau tidak minat dengan revolusi. Kau lebih senang, selesa dengan peti undi. Parti Purnama suka orang seperti mu. Tapi aku? Akusudah hilang percaya pada peti undi. Jika dulu Parti Purnama hampir menang, kau lihat hari ini. Orang sudah makin meninggalkan Parti Purnama. Ini belum sampai 2 tahun! Apakah kemenangan besar Parti Purnama itu, kau yakin akan bertambah? Usah bermimpi sahabat. Barisan Kebangsaan sudah reinkarnasi. Rakyat sudah melupakan kebejatan mereka.Dan mimpi mu untuk melihat mereka dan dasar mereka hancur, hanya tinggal mimpi!”

“Jadi kau yakin idea mu akan berhasil?”

“Untuk revolusi, aku serah 100% kepercayaan dan keyakinan ku!”

“Aaah… Aku malas hendak layan insan seperti mu. Revolusi, revolusi, revolusi. Mudah kau bercakap. Buktikan!”

“Kau akan menyesal sahabat. Kau tunggu sahaja saat revolusi mengetuk pintu rumah mu!”




(Dialog seterusnya berlaku menerusi khidmat pesananan ringkas “SMS”)

-  Apa pendapat mu jika aku ditangkap?

- Apa?!

- Apa pendapat mu. Kau faham soalan aku.

- Jangan kau mengarut!

- Aku serius.

- Tangkap kerana apa?

- Revolusi.

- Revolusi???

-Ya, revolusi. Semua orang tahu bahawa rejim Barisan Kebangsaan penuh dengan korupsi. Tapi, hanya sedikit yang dapat dicapai dengan peti undi. Rakyat perlukan perubahan dengan segera. Dan jawapannya hanya revolusi.

- Kau gila? Revolusi dengan ke jalan raya, membuat kacau?

- Turun ke jalan raya lebih baik dari peti undi.

- Aku tak setuju dengan mu. Bagaimana kau akan memobilasi rakyat untuk turun ke jalan raya menyokong mu?

- Aku akan yakinkan mereka betapa bodohnya mereka menaruh harapan pada peti undi. Mereka akan aku yakinkan dengan revolusi.

- Kau memang sudah gila. Apa kau fikir pihak berkuasa akan hanya membiarkan kau melaksanakan kerja gila ini?

-Sudah tentu tidak. Dan aku sudah bersedia untuk menghadapi apa pun.Revolusi itu umpama bom. Bom yang akan menghancurkan kezaliman. Dan mesti ada yang harus berkorban demi untuk meletupkan bom itu.

- Kau sanggup berkorban demi orang lain?

-Ya. Biar aku terkorban, asal kejayaan revolusi ini dapat dirasai semua. 13 mahasiswa diganyang ketika revolusi. Dan kau lihat, Indonesia sekarang merasa manisnya buah revolusi yang tumbuh dengan siraman darah mahasiswa. 13 orang terkorban tak mengapa asal 26 juta rakyat kita berbahagia.

- Tak bolehkah kau menunggu pilihan raya sahaja?

-Tunggu? Aku sudah cukup sabar dengan peti undi. Dan aku tidak akan bazirkan lagi masaku dengan menunggu datangnya perubahan itu. Buah revolusi yang aku citakan ini tidak akan gugur dengan sendiri. Kita HARUS menjoloknya hingga gugur!

- ;-(

- Satu hari nanti kau akan mengerti. Revolusi itu sudah berjalan. Kau harus bersedia.

- …….




(Di surau mahallah Bilal, sesi usrah)

“Cuba adik-adik, sahabat-sahabat fikir. Kita berjuang, berkempen, mengundi berpuluh-puluh tahun lamanya. Tapi, di mana hasilnya? Kasino di Genting tetap memutarkan roulette nya. Blackjack dealer terus melemparkan kad. Carlsberg terus bercahaya megah di Shah Alam. Kalian masih percaya dengan peti undi?”

Soal nya kepada anak usrah. Baginya, anak usrah ini sangat berharga untuk revolusi. Kalau pun bukan sebagai aktor utama, cukuplah jika mereka bersedia mendokongnya apabila tiba masanya.

“Betul juga pendapat abang itu. Tapi bang, kalau bukan dengan pilihan raya, nak ubah kerajaan dengan apa lagi?
Soal anak usrahnya kembali.

“(Tersenyum) Kalian pernah dengar REVOLUSI?”

“REVOLUSI???” terpinga-pinga anak usrahnya seolah tidak menjangka perkataan ini yang akan keluar dari naqib kesayangan.

“Ya. Dan sebagai buah tangan usrah kita hari ini, kalian fikir-fikir lah dalam-dalam tentang kalimat ini.”

Dan dia keluar meninggalkan anak usrahnya dengan satu kepuasan. Langkah pertama sedang berjalan!


[2013]

“TANGAN YANG MAHU MENGGAPAI REVOLUSI MESTI BERSALUT DARAH, AIR MATA, KERINGAT RAKYAT!”

“REVOLUTION IS COMING…”

“REVOLUSI SUDAH HAMPIR”

“HIDUP REVOLUSI!”



Begitulah sebahagian daripada contengan yang kian galak muncul di mana-mana di sekitar varsiti. Entah tangan mana yang gatal menulisnya, tiada siapa yang tahu. Sedar-sedar sudah merata-rata kewujudannya.

Begitu juga di papan-papan kenyataan, sudah muncul risalah-risalah yang ditampal menceritakan perihal revolusi. Bahasanya cukup hebat. Siapa yang membaca pasti terpesona.

Isu ini memeningkan pihak berkuasa varsiti. Bukan setakat isu vandalisme, tapi ini isu keselamatan negara. Seolah sudah muncul gerakan bawah tanah yang bekerja untuk menggerakkan revolusi. Mengguling kerajaan dengan kekerasan. Dan ini bukan isu remeh. Baru-baru ini sahaja seluruh dewan utama Cultural Activity Center ditabur dengan kertas kecil bertulis “revolusi semakin hampir” sehari sebelum berlangsung nya majlis yang dihadiri YAB Perdana Menteri.

Revolusi apa? Angkara Siapa? Pening dibuatnya.



AKHBAR: KEGIATAN BAWAH TANAH DI KALANGAN PELAJAR MEMBIMBANGKAN – PM

KUALALUMPUR: Perdana Menteri hari ini menyuarakan kebimbangan beliau tentang wujudnya anasir yang tidak baik di kalangan pelajar. Anasir ini disyaki cuba untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan. “Kita akan siasat. Ini perkara serius, bukan main-main.” Beliau ditemui setelah merasmikan majlis rumah terbuka di kediaman rasminya. – Bernama
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-1-2010 04:09 PM | Show all posts
Post Last Edit by homer_simpson at 18-1-2010 16:13

1# homer_simpson

[2013]

Suatu hari, selepas kelas Perlembagaan di AIKOL.


“Hisyam,awak ada dengar pasal isu revolusi?” tanya Prof. Badrul. Terkenal dengan kelantangan menyuarakan pendapat khususnya dalam isu politik semasa.

“Ya, Prof. Memang pastilah saya pernah dengar isu ni. Dah kecoh satu varsiti tentang isu ni. Sana-sini budak-budak bercerita tentang ni. Tak tahu mana asalnya, tiba-tiba dah bertaburan risalah tentang revolusi.” terang Hisyam.

“Awak tak tahu siapa yang memulakan semua ni?”

“Entahlah Prof. Budak-budak pun pelik. Semua berlaku dengan tiba-tiba.”

“Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak. Tapi di sini tak sesuai. Jom, kita keluar.”

“Hal apa Prof?”




(Keduanya keluar dari dewan kuliah)




“Awak tahu, sekarang pihak varsiti dah mulakan siasatan tentang isu ni. Dan antara suspek, Kelab Cegah Mungkar.”

“Apa? Tak mungkin lah! Saya duduk dalam majlis tertinggi, tak pernah sayadengar mana-mana AJK sebut hal revolusi ni. Ini semua tuduhan palsu Prof!”

“Itulah yang saya fikir sekarang. Pentadbir, biasalah. Bila timbul isu tentang keselamatan awam macam ni, suspek utama mesti datang dari kelompok agama. Saya dengar selepas ni mereka akan pasang ‘spy’ untuk siasat kegiatan Kelab Cegah Mungkar. Awak perlu hati-hati! Ini bukan hal main-main.”

“Baik Prof. Tapi, dari mana Prof tahu semua ni?”

“Itu awak tak perlu tahu. Saya minta diri dulu.”




(Di Kafe HS)



“Apa? Mereka nak tuduh Kelab Cegah Mungkar buat semua benda tu?”

“Ya, ini yang aku dengar sendiri dari Prof. Badrul. Kalau dia yang bercakap, mesti ada asasnya. Kita mesti buat sesuatu.”

“Mamat jahanam manalah yang duk sibuk nak Revolusi ni. Menyusahkan orang!”

“Sabar, kita perlu rasional. Jangan ikut nafsu. Malam ni, kita buat mesyuarat tergempar. Maklumkan pada AJK yang lain. Kalau boleh dapatkan Ustaz Asri sekali. Isu ni besar, ada baik dia ada sekali.”

“InsyaAllah…”




(Malam itu ketika mesyuarat)



“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada anda semua kerana terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan tergesa-gesa. Tapi, tujuan mesyuarat ini diadakan bukan untuk membincang hal-hal remeh, tapi hal yang besar. Hal yang melibatkan masa depan Kelab Cegah Mungkar sepenuhnya!”

Hisyam memulakan bicara. Hisyam adalah pengerusi Kelab Cegah Mungkar yang agak kontroversi. Tidak semua setuju dengan perlantikan Hisyam. Tapi oleh kerana tugas ini adalah amanah, Hisyam pikul juga walau ada yang sangsi.

“Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, sekarang ini varsiti demam dengan virus Revolusi. Di mana-mana pun orang sibuk bercakap tentang Revolusi. Dan siang tadi, saya telah dimaklumkan oleh Prof. Badrul bahawa pihak varsiti sudah mula menyiasat tentang hal ini. Dan suspek utama tak lain tak bukan adalah Kelab Cegah Mungkar sendiri. Kita dituduh menjadi dalang kepada kekacauan ini!”

Suasana agak kecoh. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar. Memang, mereka semua sedia maklum bahawa Kelab Cegah Mungkar adalah kelab paling “lembut” di varsiti. Tapi tuduhan Revolusi ini terlalu besar.

“Dan saya juga diberitahu oleh Prof. Badrul bahawa ada perisik yang dilantik khas olehvarsiti untuk memantau aktiviti Kelab Cegah Mungkar.” Ujar Hisyam lagi.

“Saya tak percaya!” tiba-tiba Hassan mencelah.

“Perkara perisik-perisik ini bagi saya hanya helah untuk memporak-perandakan kita. Cuba tuan-tuan bayangkan. Jika varsiti berjaya yakinkan kita bahawa ada ‘spy’ di kalangan kita, bukankah kita akan jadi ‘paranoid’? Mengesyaki rakan seperjuangan sendiri. Akhirnya, yang rugi Kelab Cegah Mungkar sendiri. Dan kita jangan lupa, varsiti tak pernah berdamai dengan kita. Jangan terperangkap dalam muslihat mereka!” hujah Hassan, Ketua Biro Dakwah.

“Ada betulnya pendapat saudara Hassan tu. Perkara ini rumit, kita jangan gopoh. Pendapat saya, biarlah kita tunggu dan lihat dulu perkembangan sehari-dua ini. Dan pada masa yang sama, cuba elakkan dari melakukan aktiviti yang mencurigakan. Ingat, mereka sudah lama hendak ‘membaham’ kita. Tunggu peluang sahaja.” ujar Ustaz Asri, penasihat Kelab Cegah Mungkar.

Mesyuarat berakhir dengan penuh kekecewaan, kejutan, kerisauan. Hisyam selaku Pengerusi benar-benar terkena dengan ujian ini. Baru dia tahu langit itu tinggi. Dan hujah Hassan tadi juga kerap mengganggu fikirannya. Hassan bukan calang orang. Paling tsiqah di varsiti. Hadis 40 dihafal dan diamal. Kalau lah bukan kerana Hassan tidak hafal 40 teknik mengurus yang baik, sudah tentu Hisyam tak berpeluang untuk duduk di kerusi empuk Kelab Cegah Mungkar.

Sudah sekian lama Kelab Cegah Mungkar berlayar di samudera tanpa kocakan ombak. Namun sekarang bukan sekadar ombak, tapi Tsunami yang akan menggoncang Kelab Cegah Mungkar!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-1-2010 09:05 AM | Show all posts
Post Last Edit by homer_simpson at 20-1-2010 09:11

2# homer_simpson

cerita ni kadang2 x ikut kronologi. tapi still leh faham kan

-----------------------

[2011]

“Aku bosan lah. Bosan dengan usrah-usrah semua ni. Asyik-asyik nak buat usrah. Usrah pulak tu bincang benda sama saja. Bosan!”

Luah Nasir. Nasir pelajar tahun 2 di AIKOL, UIAM. Kuliyyah paling panas disana. Siapa pegang AIKOL, dia lah yang memegang UIAM. Dan sejak sekian lama, Kelab Cegah Mungkar lah yang memegangnya. Begitu lah hebatnya penangan AIKOL dalam politik kampus UIAM.

“Aku tak faham kenapa aku kena hafal doa ini, doa itu, hafal surah itu, surah ini, buat ritual ini, ritual itu, apa faedah nya untuk orang miskin di kota sana? Apa mereka peduli dengan semua ini? Kita nak candui mereka dengan agama? Agar mereka khayal dan lupa pada kesusahan hidup mereka? Hingga akhirnya mereka redha dengan kesusahan mereka? Persetan semua ini!”

“Kau tengok sendiri budak-budak Cegah Mungkar ni. Baca hadis cepat, tapi minta ulas isu semasa diam membisu. Orang macam ni nak gegar Malaysia? Ptuiih!!”

Marah benar Nasir. Mana tidak nya. Dia baru sahaja ditegur orang kuat Kelab Cegah Mungkar. Semua kerana kelantangannya mempersoal usrah Kelab Cegah Mungkar. Tak progresif katanya. Dengan berani juga Nasir menyalahkan usrah lapuk ini atas kelembapan ahli KCM untuk memberi reaksi kepada isu semasa.

Tulisan di blog itu pada dasarnya biasa saja. Sudah banyak dibuat orang. Maharaja Zhou menghentam usrah PMI di UM. Rausyanfikir mengkritik usrah Rakan Masjid di UTP. Tapi ia menjadi polemik apabila Nasir turut menamakan beberapa individu yang dianggapnya penyebab kepada kelapukan usrah ini. Setelah seminggu berada di laman maya, tulisan itu akhirnya diguna oleh pihak lawan untuk menghentam KCM juga. Akhirnya, kepimpinan KCM ambil tindakan terhadap Nasir.

Kerana itu lah, Nasir marah benar dengan KCM sekarang ini. Siapa mereka untuk mempersoalkan aku? Dan sasaran pertama, usrah KCM.

Nasir bukan calang mahasiswa. Tajam akal, peka isu semasa, bijak dalam strategi. Boleh dikatakan dia lah antara calon untuk menjadi pelapis dalam KCM. Namun semua bukan mudah buat Nasir. Sejak hari pertama lagi sudah mula pelbagai cabaran buat dirinya.

Hadir dari kalangan pelajar “direct intake”, yang bukan dari CFS (Centre of Foundation Study), Nasir sering dianggap orang luar oleh ahli KCM lain. Lebih lagi mereka yang sudah terlibat dengan KCM sejak dari CFS lagi. Latar belakang Nasir yang berpendidikan sekular juga menambahkan lagi jurangnya dengan ahli KCM lain.

Nasir tidak berkopiah. Nasir tidak berjubah. Nasir tidak pandai Arab. Nasir bukan segalanya yang perlu ada bagi ahli KCM. Malah pada mulanya Nasir sendiri tidak berminat menyertai KCM. Agama. Apa boleh agama buat pada masyarakat? Itu idea Nasir. Namun atas nasihat dari rakan rapat nya, Nasir akur juga dan mula belajar menyertai gerakan mahasiswa Islam.

Agak kekok juga Nasir untuk menyertai usrah bersama rakan-rakan lain yang jelas sekali lebai nya. Hari pertama lagi Nasir sudah resah gelisah tatkala rakan lain begitu lancar membicarakan soal agama. As-Syafie, Syed Qutb, al-Banna, semua menjadi buah mulut mereka. Tapi bagi Nasir, siapa mereka itu? Nasir lebih rapat dengan Farish Noor, lebih romantis bersama Guevara. Hishamuddin Rais amir nya.

Lebih malang buat Nasir, seolah dia disisih oleh ahli KCM dari CFS. Sering juga dia tidak menerima undangan ke usrah dan program KCM. Bila minta pertolongan sahaja yang laju. Semua seolah tidak sedar akan kewujudannya. Sakit juga hati Nasir dengan keadaan begini.

Namun Nasir sedar. Di UIAM mana mungkin sosialis sepertinya mampu hidup. Mana mungkin dia dapat bersuara kalau tidak menjadi ahli gerakan Islam. Mahu tak mahu, ini sahaja pilihan buat dirinya. Cemburu juga Nasir dengan rakan-rakan di UKM dan UM. Di sana sosialis duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tapi di sini, jauh panggang dari api. Sabar sahaja pilihan Nasir.

Jika benih baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke hutan menjadi gunung. Begitu lah Nasir. Walaupun dia tidak selebai ahli KCM yang lain, potensi kekuatan dirinya tetap tertonjol. Dan itu lah yang menarik perhatian senior dalam KCM. Malah naqib nya juga yakin bahawa Nasir akan menjadi seorang yang penting dalam dunia politik UIAM kelak. Nasir sudah punya kualiti seorang pejuang. Cuma Islami sahaja yang kurang. Ah, itu bukan masalah. Nasir malah sering disamakan dengan al-Walid di zaman kuffarnya. Kehadirannya dalam perjuangan Islam akan membawa makna yang besar. Maka kerana itu lah walaupun setebal mana pun sekularisma dalam diri Nasir, naqib nya tetap bersabar. Masa akan merubah segalanya dan tongkol besi ini akan diasah menjadi pedang!

Pejam celik pejam celik, berjaya juga Nasir mengharungi tahun pertama bersama KCM. Semakin sayang senior KCM terhadap Nasir. Nasir kuat membaca. Semua jenis ilmu ingin dibacanya. Malah kitab jawa kuno juga dia ingin hadam jika berkesempatan. Dan ini yang kadang-kadang dirisaukan oleh senior KCM nya. Bimbang sesat, kata mereka. Dan Nasir cuma tersenyum. Mereka bukan tahu apa yang aku baca. Masakan aku boleh dikatakan akan sesat. Karut. Bisik hati Nasir.

Walaupun hidup bersama KCM, Nasir tetap setia dengan sosialisnya. Nasir kerap menghadiri diskusi bersama rakan-rakan dari UKM, UM. Bersama di hujung minggu menyertai aktiviti sosial bersama. Cina, India, Melayu, semua bersama Nasir. Dan Nasir gembira dengan keadaan begini. Bagi Nasir agama, kaum, bangsa hanya pemisah umat manusia. Mana mungkin dapat menyatukan manusia. Kerap juga Nasir diperli oleh rakan sesosialisnya gara-gara penyertaannya ke dalam KCM. Tapi Nasir buat bodoh sahaja. Cuba kau masuk UIA dulu tengok apa jadi. Laung Nasir dalam hati kecilnya.

Kualiti yang ada pada Nasir kadang-kadang membawa fitnah kepada dirinya. Sering “rakan-rakan” nya membawa 1001 cerita tidak elok mengenai dirinya. Pernah seseorang membawa cerita konon-konon Nasir ejen HEP untuk menjahanamkan KCM. Pernah juga akhlak Nasir dipersoal. Semua gara-gara laman social Facebook nya yang langsung tidak mencerminkan seorang pejuang Islam. Pejuang Islam dari kaca mata siapa? Dari kaca mata mereka, yang sempit dan kabur.

Namun semakin banyak cerita, semakin sayang pula senior KCM nya kepada Nasir. Sikap bersahaja Nasir dalam menghadapi aneka ragam dunia mahasiswa dikagumi mereka. Kalau akulah, dah lama aku sekeh budak-budak ni. Luah seorang senior nya. Senior KCM sering husnul zhan kepada Nasir. Malah mereka melayan Nasir sebaik mungkin. Lebih lagi Muhsin, senior KCM yang sekarang sudah bergelar SRC. Muhsin lah yang mula-mula memperkenalkan kepada Nasir mengenai sepak terajang dunia mahasiswa. Dengan latar belakang yang sama sebagai pelajar “direct intake”, Nasir banyak belajar dari Muhsin. Dan Muhsin juga tidak sombong dan lokek ilmu dengan Nasir. Mungkin dia sedar bahawa pelajar “direct intake” memang banyak cabaran. Dan dia sudah merasainya. Dia tidak mahu perkara yang sama berlaku pada Nasir pula.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-12-2024 04:59 AM GMT+8 , Processed in 0.092297 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list