|
Kelab Pop tampil lebih banyak 'games' menarik untuk selebriti!
Oleh WAHIDA ASRANI
AKSI spontan selebriti tempatan tatkala berentap di dalam program 'game show' Kelab Pop, memang cukup mencuit hati. Memang amat riuh-rendah suasana di set walaupun rata-rata penonton hanya dapat menyaksikan gelagat selebriti-selebriti popular itu di kaca televisyen saja.
Lantaran itu, atas sambutan hebat penonton, Astro Ria meneruskan musim kedua program yang dihoskan oleh Reza Mohamed ini dengan menampilkan lebih ramai selebriti yang akan berentap sesama mereka menerusi pelbagai permainan menarik.
Program yang akan mula bersiaran pada 20 Mei, setiap Rabu pada pukul 9 malam ini menjanjikan lebih banyak permainan hebat yang pastinya akan menggamatkan suasana.
"Rating yang dicapai oleh program ini cukup memberangsangkan dan sebab itu kami bercadang untuk meneruskan program ini. Kali ini, lebih banyak permainan yang 'gempak', termasuklah penambahan bentuk permainan seperti Buskers, Tiru Macam Saya dan Mr Saxophone.
(dari kiri) Sazilatul, Khairul Mizan dan Reza Mohamed - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
"Kita juga akan menampilkan lebih ramai selebriti popular. Setakat ini, antara artis yang telah menjalani rakaman program ini ialah Nora Danish, Elyana, Fara Fauzana, Sherry Ibrahim.
"Datuk Siti Nurhaliza juga sebenarnya ingin menyertai program ini. Tetapi memandangkan ketika itu bapanya baru meninggal dunia, jadi dia tidak dapat ke rakaman program ini.
"Malah, ada juga selebriti yang pernah menyertai musim pertama Kelab Pop dulu ingin turut serta dalam musim ini lagi," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul yang ditemui pada rakaman Kelab Pop di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Artis-artis yang menjayakan sesi rakaman pada hari itu ialah Mawi, Ekin, Khai, Rosma, Anita Baharom dan Ashed Def Gab C.
Kelab Pop yang diadaptasi daripada sebuah program berkonsepkan 'game show' dari Jerman akan menampilkan enam selebriti dalam setiap episod.
Mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana setiap kumpulan terdiri daripada tiga ahli. Kali ini, setiap kumpulan akan berentap di dalam tiga segmen iaitu 'Question & Answer Games', 'Team Action Games' dan 'Games Baru'.
Menurut penerbit, Sazilatul Ahamad, konsep program tersebut masih terus dikekalkan termasuklah tidak menawarkan hadiah terhadap kumpulan selebriti yang memenangi episod mingguan itu.
"Setakat ini, kita tidak ada perancangan untuk memberikan hadiah selain trofi Kelab Pop. Semua selebriti yang terlibat pun tidak pernah ada masalah tentang perkara ini. Malah, mereka lebih teruja untuk merebut trofi tersebut.
"Lagipun, program ini lebih kepada untuk berseronok saja. Cuma kita mempelbagaikan lagi permainan pada kali ini.
"Sebagai contoh, untuk permainan Suara Buluh Kasap, jika musim lalu kami menggunakan seorang lelaki Pakistan yang tidak tahu berbahasa Melayu untuk menyanyikan lagu yang perlu diteka oleh peserta, kali ini kita gunakan pula seorang wanita Rusia yang akan berbuat demikian," katanya yang menambah Kelab Pop mungkin akan turut dirakamkan secara 'outdoor' pada musim-musim akan datang jika terus mendapat sambutan hebat.
Dalam pada itu, pengacaranya, Reza Mohamed akui sudah semakin selesa mengendalikan program tersebut.
"Banyak pengalaman melucukan yang saya dapat apabila kena 'melayan' telatah selebriti-selebriti ini. Tetapi, sebagai hos, saya kena pandai mengawal keadaan.
"Adakalanya saya biarkan saja mereka dengan gelagat masing-masing, tapi ada masanya kena juga pandai 'control' keadaan," tutur Reza. |
|