|
Khamis Januari 22, 2009
Ziana 'ubat' duka dengan Magica
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
mstar online
VOKAL Ziana Zain semasa Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) tempoh hari sudah membuktikan yang tenaganya di dalam bidang nyanyian masih ‘ampuh’ dan utuh seperti namanya yang masih mekar di persada seni tempatan.
Walaupun tewas, tidak semestinya keyakinannya untuk terus bertahan di dalam bidang nyanyian terus lenyap begitu sahaja kerana jiwanya masih setia untuk berjuang selagi termampu memandangkan hasil yang diraih amat besar pengertiannya bagi ibu kepada dua putera ini.
Pelantun lagu ‘Dingin’ ini akur dengan rezekinya lebih-lebih lagi beliau sendiri mengakui yang industri seni ini bukanlah besar mana pun.
Lantas, Ziana menerima setiap ketentuan di dalam diari kehidupannya termasuklah tawaran projek yang diberikan oleh mana-mana pihak produksi.
Bakat Ziana juga semakin menyerlah di dalam bidang lakonan selain masih menjadikan bidang nyanyian sebagai ‘buah hatinya’.
Ziana Zain akan menggunakan bakatnya di dalam bidang lakonan dan nyanyian sehabis baik.
"Karier saya bergantung kepada rezeki yang tak terancang kerana tanpa kita sedar ‘tup-tup’ ada sahaja projek yang ditawarkan.
"Jika nak kata sekarang ini saya semakin menumpukan kepada lakonan pun, tak boleh juga sebab saya masih menyanyi dan dalam masa yang sama peluang berlakon itu ada, jadi kenapa tidak saya menerimanya.
"Lainlah saya ini tak reti berlakon. Seperti pendapat sesetengah orang, tidak semua orang boleh menyanyi dan berlakon.
"Jika kerja itu sesuai dengan masa dan wataknya, Insya-Allah saya akan cuba menerimanya.
"Sekurang-kurangnya, selepas selesai dengan AJL23, ada kerja yang boleh saya buat," luah Ziana yang bakal sibuk dengan rakaman lagu dan pengambaran filem Magica terbitan KRU Studios (KRU).
Kata Ziana, beliau akan menjalani rakaman tiga buah lagu runut bunyi filem tersebut pada hujung bulan ini.
Selepas itu, beliau akan mengisi masa selama 10 hari untuk pengambaran filem muzikal fantasi itu yang dijangka bermula pertengahan Februari depan.
Kehebatan vokal Ziana ketika menyanyikan lagu Dingin di AJL23 baru-baru ini membuktikan bakatnya masih terserlah.
Menurut Ziana, filem ini dijangka akan menjalani pengambaran di sekitar Kuala Lumpur, dan Tasik Chini, Pahang.
"Saya akan merakam tiga buah lagu yang lebih kepada lenggok bercerita.
"Dalam filem Magica, saya memegang watak nenek kebayan yang menjual jamu. Apa yang saya tahu tentang Magica, filem ini berunsurkan fantasi seakan-akan filem ‘Bedtime Stories’ yang sesuai untuk tontonan kanak-kanak.
"Filem ini mempunyai lebih kurang enam hingga tujuh cerita di mana watak lakonan saya merupakan salah satu cerita di dalamnya yang mengisahkan orang bunian.
"Dalam filem ini, turut ada watak puteri, Sang Kelembai dan banyak lagi. Saya rasa teruja untuk berlakon filem ini kerana ia memberikan kelainan watak dalam lakonan saya dan yang menariknya ia merupakan cerita untuk kanak-kanak.
"Di samping itu, KRU juga akan menambah sedikit teknik CGI untuk membuatkan filem ini lebih menarik agar dapat mengajak kanak-kanak ke pawagam.
"Filem ini juga boleh jadi nampak lebih ‘thriller’," jelas Ziana.Dalam masa yang sama, Ziana mengharapkan filem ini bukan sekadar memberikan hiburan malah mampu memberikan pengajaran yang berguna kepada kanak-kanak yang menontonnya.
"Seperti yang kita tahu, kanak-kanak sukakan cerita dongeng dan hikayat seperti 'Snow White', 'Cinderella' dan lain-lain lagi.
"Jadi, apabila menonton filem ini, mungkin kita boleh mengajar kanak-kanak agar mendengar kata ibu bapa kerana di akhir cerita ini, kita akan berikan kesan yang tersurat di sebaliknya.
"Selain itu, kita akan serapkan cerita hikayat rakyat seperti 'Sang Kelembai' di mana mungkin ada antara kanak-kanak yang tidak mengetahui tentangnya," ujar Ziana mengenai filem yang turut membariskan pelakon Diana Danielle dan Mawi ini.
Dalam pada itu, Ziana turut menafikan khabar angin yang mengatakan beliau ditimpa kemalangan.
"Itulah, saya pun terkejut juga apabila ada yang bertanya tentang berita itu. Bayangkan, waktu itu saya sedang berehat-rehat di rumah," ulas Ziana yang sedang mengambil anak-anaknya pulang dari sekolah ketika dihubungi petang semalam.
Kakak kepada penyanyi popular Anuar Zain ini juga turut menafikan yang beliau kini sedang mengandung.
"Itu pun tidak betul. Dr saya sendiri pun tidak tahu...," jelas Ziana menutup bicara. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|