Dengarnya...: Jangan rosakkan imej kumpulan
Oleh Normah Becok
AKSI Lan pada malam AJL23.
CIK Normah sekali ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Juara Lagu ke-23. Memetik kata-kata Vince, anda semua pemenang, tiada pihak yang boleh dianggap kalah.
Bagi Cik Normah, Faizal Tahir dan Meet Uncle Hussain masing-masing ada kekuatan sendiri dan tak perlulah nak dibandingkan sesama mereka. Lagi pun mereka membawakan aliran muzik yang sama iaitu rock. Tapi bukan itu yang Cik Normah hendak bebelkan di sini. Ada perkara lain yang ingin Cik Normah tekankan.
Kisahnya berlaku di bilik sidang media. Biasalah selepas diumumkan keputusan, wartawan pun ingin menemu bual mereka yang menang termasuklah pemenang utama iaitu kumpulan Meet Uncle Hussain.
Cik Normah walaupun tak bertugas, tetapi ada juga di situ sekadar ingin memberi sokongan.
Tapi, apa yang membuatkan Cik Normah terkejut adalah apabila media bertanyakan soalan kepada kumpulan itu, jawapan yang diterima cukup menjengkelkan, terutama yang keluar daripada mulut vokalisnya, Lan. Nampak sangat Lan macam tak serius dengan apa yang ditanyakan itu. Malahan, tindakan Lan itu membuatkan beberapa wartawan yang berada di situ keliru apakah jawapan yang diberikannya itu serius atau merapu.
Nasib baiklah ada Taja yang mampu menjawab setiap pertanyaan media dengan baik dan yang lebih penting ada isi untuk ditulis. Berbanding Lan, Taja nampaknya lebih profesional dan tenang dalam menjawab setiap soalan daripada media dengan baik.
Cik Normah berharap sangat Lan dapat belajar cara berkomunikasi dengan wartawan. Maklumlah, jadi vokalis ini bukan sekadar penyanyi saja tetapi juga turut menjadi jurucakap bagi pihak kawan-kawan dalam kumpulan ini.
Cara bercakap dan menjawab soalan itu akan menggambarkan imej keseluruhan Meet Uncle Hussain. Lan kenalah faham perkara ini. Bukannya apa, ini untuk kepentingan awak juga. Sayang kalau ada bakat ,tetapi musnah disebabkan tiada kemahiran PR pula. Lepas ni, biarlah Taja saja yang ke depan untuk jadi jurucakap kumpulan Meet Uncle Hussain. |