|
Soseh Soseh: Peminat rimas
Namun, di sebalik keintiman itu masih ada yang kurang senang. Beberapa hari lalu, SS dihubungi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nora. Katanya dia jelak membaca akhbar yang kebelakangan ini banyak mempamerkan gambar Mawi dan Ekin.
Bukan cemburu, tetapi bagi Nora sebagai bakal pengantin yang 'darah manis' sepatutnya kurangkan bersua hingga selamat bergelar suami isteri. Ini tidak, asyik hendak berkepit di sisi Mawi saja. Yakinlah, tiada orang akan merebut si Mawi tu!
Mendengarkan celoteh Nora yang panjang lebar, SS tergelak juga dibuatnya. Namun, dalam masa sama ada betulnya juga cakap Nora. Setahu SS, di kampung kalau menghitung hari hendak 'bersatu' selalunya orang tua tidak galakkan bakal pengantin bertemu.
Bagi mereka, semakin hampir tarikh pernikahan, banyak dugaannya. Bagaimanapun, zaman sekarang ini SS dapati adat itu sudah dilupakan. Walaupun lagi lima minit hendak bernikah ada juga yang masih boleh berbual manja di telefon.
Selain Nora, SS ada juga menerima beberapa panggilan telefon daripada peminat SS mengenai Mawi dan Ekin ini. Semuanya semacam tidak menyukai Ekin yang sentiasa mengekori Mawi. Pada SS pula, biasalah siapa yang tidak sayang kekasih?
Ditambah lagi, si cinta hati artis popular. Ke mana saja menjadi perhatian orang ramai. Bagaimanapun, kepada Ekin diharapkan janganlah melenting. Adat orang bercinta, macam inilah namanya bukan semua yang kita buat akan diterima dan disukai.
|
|