|
Selebriti popular meriahkan Ar-Rayyan 2
SAMBUTAN yang memberangsangkan terhadap program Ar-Rayyan yang disiarkan di Astro Ria kira-kira dua tahun lalu akhirnya telah mendorong pihak penerbitan untuk menghasilkan musim kedua program bual bicara berbentuk ilmiah itu.
Bakal disiarkan di saluran Astro Oasis bermula 19 Mei ini, program yang diterbitkan oleh Green Melon Communications Sdn Bhd ini juga masih mengekalkan ikon dakwah tersohor di negara ini, Datuk Fatma El-Zahraa sebagai hos.
"Kita mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan musim terbaru ini disebabkan oleh peralihan saluran kerana sebelum ini Ar-Rayyan disiarkan di Astro Ria.
"Dalam jangkamasa tersebut Astro di dalam proses untuk mewujudkan saluran Astro Oasis dan ketika itu kita lebih banyak mengkaji program-program mana yang sesuai untuk ditayangkan di Oasis.
"Sebab itulah kemunculan Ar-Rayyan musim kedua ini agak lambat," ujar Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar pada sidang media perasmian musim kedua program tersebut di Le Meridien, Kuala Lumpur, semalam.
Datuk Fatma (kiri) bersama Izelan Basar pada sidang media program tersebut
Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah.
Menariknya musim terbaru ini, tetamu jemputan yang bakal menghiasi 13 episod program tersebut bukan saja terdiri daripada ikon-ikon masyarakat, tetapi juga di kalangan selebriti popular tanahair yang bakal berdiskusi bersama Fatma mengenai topik-topik tertentu.
Antara selebriti tersebut adalah Datuk Siti Nurhaliza, Aishah, Noorkumalasari, Waheeda, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.
"Setiap episod akan ada topik tertentu yang akan diperbincangkan dan tetamu pada setiap minggu akan dipilih berdasarkan kesesuaian topik dengan diri mereka.
"Sebagai contoh, Datuk Siti Nurhaliza telah diundang untuk berkongsi pengalamannya mengerjakan haji di Mekah dan Aishah pula kita jemput untuk berbicara mengenai ibu tunggal.
"Topik yang diketengahkan juga lebih kritikal dan khusus untuk kaum wanita dan keluarga," kata Fatma pula yang menambah proses rakaman setiap episod program tersebut juga hampir siap kesemuanya.
Berbicara lebih lanjut tentang keistimewaan Ar-Rayyan musim terbaru ini, kata Fatma, kali ini kelainan yang ketara boleh disaksikan menerusi pemilihan tetamu jemputan yang rata-ratanya lebih 'muda' berbanding musim terdahulu.
"Maksud 'muda' bagi saya di sini bukanlah dari faktor usia, tetapi mereka yang ada pengaruh di kalangan generasi muda kita, sebagai contoh selebriti-selebriti yang masih mempunyai pengikut tersendiri sehingga kini.
"Approach yang kita buat kali ini juga agak berbeza berbanding dulu. Kita berbicara dalam bentuk yang lebih santai dan spontan.
"Saya juga akan turut memberi tips-tips serta bacaan doa tertentu yang mana penonton boleh dapat manfaat daripadanya," kata Fatma lagi.
Episod istimewa Ar-Rayyan telah pun disiarkan sempena sambutan Maulidur Rasul pada bulan Mac lalu, manakala musim kedua ini akan membuka tirai pada Isnin depan selama setengah jam bermula pukul 9 malam. |
|