|
MUKAH: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di Pantai Jebungan, di sini.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias, berkata mangsa dijumpai oleh dua beradik lelaki ketika hendak bersantai di pantai berkenaan kira-kira 5.50 petang semalam.
"Mangsa adalah seorang lelaki berusia 31 tahun. Hasil siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang dapat dikaitkan dengan kematian mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Rizal berkata, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan masih dalam siasatan. - BH
|
|