View: 3047|Reply: 1
|
[Sarawak]
Laluan balak sepanjang 18km dinaik taraf, manfaatkan lapan rumah panjang
[Copy link]
|
|
SIBU: Setelah bertahun-tahun menggunakan laluan sungai sebagai pengangkutan utama, akhirnya penduduk lapan buah rumah panjang di sekitar Jalan Nanga Sekuau ke Rh Udin Letan, Bunau Oya Pakoh, Selangau lega apabila laluan balak akhirnya dinaik taraf.
Sebelum ini, mereka tiada pilihan dan terpaksa menggunakan jalan balak yang telah rosak teruk selain memilih Batang Oya sebagai kaedah pengangkutan dan perhubungan dengan kawasan luar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata jalan sepanjang 18 kilometer itu turut menghubungkan laluan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pakoh.
"Saya telah menggunakan dana projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf bekas jalan balak serta menggantikan jambatan kayu kepada jambatan besi.
"Projek menaik taraf jalan ini dilaksanakan secara tiga fasa membabitkan kerja-kerja pembersihan serta menabur batu dan menelan kos sebanyak RM600,000.
"Manakala sejumlah RM400,000 lagi diperuntukkan untuk menggantikan dua buah jambatan kayu kepada jambatan besi," katanya semasa dihubungi hari ini.
Katanya, lapan buah rumah panjang yang mendapat manfaat daripada projek naik taraf tersebut ialah Rh Jackson Ngumbang, Rh Udi, Rh Jabing, Rh Randi, Rh Anthony, Rh Johny, dan Rh Undin.
Menurut Gira, laluan sepanjang enam kilometer dari SK Pakoh ke Bunau yang turut menghubungkan dua buah rumah panjang iaitu Rh Mendu dan Rh Usup turut dinaik taraf.
Gira berkata sebanyak RM500,000 diperuntuk untuk menaik taraf laluan tersebut termasuk membina jambatan besi bagi menggantikan jambatan kayu.
Bercakap lanjut, Gira turut memberitahu bahawa penduduk Rh Johnny dan Rh Anthony bakal menikmati kemudahan elektrik 24 jam tidak lama lagi di bawah peruntukan Projek Rakyat.
Ujar beliau, pemasangan tiang dan grid elektrik juga sudah siap dan kini hanya menunggu kerja-kerja pemasangan meter untuk setiap bilik.
"Dengan adanya kemudahan tersebut, maka ini akan memberi lebih banyak lagi peluang sosioekonomi dan seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan tersebut," katanya.
credit
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|