|
Kuala Lumpur: Pemain tengah wanita skuad bola sepak kebangsaan, Andrea Lee Xin Yi memasang impian untuk beraksi di liga profesional Amerika Syarikat (AS) suatu hari nanti jika berpeluang membuktikan bakatnya kepada kelab di negara itu.
Dalam satu temubual 'Ask Away' di saluran YouTube FAMTV Malaysia, Andrea yang baru beraksi empat perlawanan bersama skuad Malayan Tigress menyatakan dia kini menyambung pelajaran untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di negara Uncle Sam itu.
"Saya menyambung pelajaran di Universiti Michigan dalam bidang Matematik jadi jika diberi peluang sudah tentu saya mahu beraksi di AS," katanya yang berasal dari Sabah.
Andrea, 20, menganggap bapanya sebagai pencetus inspirasi terbesar buatnya untuk bermain bola sepak kerana sering dibawa bersama setiap petang bermain dengan budak lelaki sebayanya di kawasan kejiranan ketika kecil.
"Saya mula berjinak-jinak dengan bola sepak ketika berusia sembilan tahun. Bapa orang yang sering memberi galakan kepada saya ketika itu dan mengajak saya bermain dengan kawan-kawan lelaki. Ibu tidak begitu menggalakkan tapi kini ibu antara penyokong utama saya," katanya yang mewakili Selangor dua tahun lalu sebelum dipilih menyertai skuad Sukan Sea Filipina 2019.
"Bukannya saya tidak suka sukan lain. Saya pernah juga bermain bola tampar dan bola keranjang tetapi akhirnya bola sepak tetap menjadi pilihan nombor satu," kata Andrea yang meminati pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes.
Ditanya mengenai komen negatif warganet, Andrea berkata, dia tidak begitu menghiraukan kecaman sebegitu sebaliknya berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik setiap kali turun ke padang perlawanan.
Dalam ruangan 'Ask Away' di laman Instagram Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), peminat dan warganet berpeluang bertanyakan soalan kepada Andrea yang hanya menjawabnya menerusi rakaman video di saluran YouTube.
Daripada banyak soalan yang dilontarkan kepadanya, hanya satu soalan iaitu sama ada Andrea sudah mempunyai kekasih hati atau belum tidak dijawab oleh pemain yang menjaringkan gol sulung di peringkat antarabangsa ketika mengalahkan Palestin 2-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2022 di Tebing Barat, minggu lalu. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
AKSI Andrea ketika menentang Palestin. FOTO FAM |
|
|
|
|
|
|
| |
|