View: 1272|Reply: 1
|
Piala Malaysia: Pertembungan guru dan murid
[Copy link]
|
|
Kuala Terengganu: Pertembungan Terengganu FC (TFC) menentang Kuching City FC (KCFC) pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak esok bukan hanya terarah kepada persaingan di atas padang antara pemain.
Sebaliknya ia lebih terarah kepada pertembungan strategi seorang guru dan bekas muridnya kerana pengendali berpengalaman KCFC, Irfan Bakti Abu Salim pernah bersama dengan jurulatih TFC, Nafuzi Zain selama dua musim pada 2018 dan 2019 ketika membimbing pasukan TFC sehingga mara ke pentas final Piala Malaysia pada 2018 sebelum tewas kepada Perak FC.
Perkara ini diakui Nafuzi yang menjelaskan perasaannya bercampur-baur selepas pasukannya diundi satu kumpulan dengan skuad kendalian bekas sifunya itu selain Perak FC.
Nafuzi, 42 berkata, pertembungan itu bukan sahaja mempunyai nilai sentimental kepadanya dan pengendali berusia 70 tahun itu, tapi juga kepada pemain TFC yang pernah mendapat tunjuk ajar daripada Irfan Bakti.
Bagaimanapun demi tugas dan tanggungjawab kepada majikannya, Nafuzi terpaksa mengetepikan seketika soal persahabatan sebaliknya bakal menerapkan strategi lebih ampuh untuk berdepan dengan 'musuhnya' itu bagi mengutip tiga mata pertama biarpun berkemungkinan besar strateginya sudah dibaca ataupun berada dalam 'kocek' Irfan Bakti.
"Serius jika boleh sejujurnya saya tidak mahu bertemu dengan pasukan bimbingan Irfan Bakti, bukan soal menang atau kalah, tapi secara peribadi saya rasa sesuatu yang cukup berbeza bertemu dengan bekas guru saya itu.
"Walaupun saya pernah bersama dengan beberapa jurulatih lain, tapi perasaan itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, lagipun saya banyak belajar dengan beliau.
"Bagaimanapun jika tidak dapat dielak saya tetap harungi walaupun sedar bertemu dengan pasukan Liga Perdana bukan tugas mudah sebaliknya sukar kerana kita tidak pernah bertemu dalam liga dan sudah pasti motivasi mereka tinggi untuk menundukkan pasukan Liga Super, jadi cabaran tetap hebat walaupun atas kertas kelebihan memihak kepada tuan rumah," kata Nafuzi ketika ditemui semalam.
Mengulas lanjut, Nafuzi akui lega apabila kapten pasukannya, Carli De Murga yang terlepas empat perlawanan terdahulu sudah kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan yang dialami ketika saingan Liga Super.
"Setakat ini semua pemain bebas daripada kecederaan termasuk Murga, mereka pun sudah bersedia 100 peratus untuk menghadapi saingan Piala Malaysia," katanya. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
NAFUZI (kanan) bakal bertemu sifunya, Irfan Bakti. FOTO Malik Muhamad |
|
|
|
|
|
|
| |
|