View: 1552|Reply: 1
|
Kim Swee sasar lengkap karier gemilang bersama Sabah
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Selepas meninggalkan seketika keghairahan di kawasan teknikal padang, pendorong utama Datuk Ong Kim Swee kembali ke kancah kejurulatihan sebagai pengendali baharu Sabah FC lebih kepada kepuasan diri.
Jurulatih berusia 50 tahun itu, yang telah melakar beberapa kejayaan bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa, berkata keputusan itu bagi memastikan karier kejurulatihannya lengkap dengan segala kriteria diperlukan.
Jelasnya ia bukan soal membuktikan kembali kemampuannya selepas ditunjukkan jalan keluar dari membimbing skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara susulan prestasi buruk pada Sukan Sea 2019 di Filipina.
Datuk Ong Kim Swee (berdiri kanan) mengadakan perjumpaan dengan pemain Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
"Kalau kita nak bandingkan dengan 2019 itu adalah pasukan kebangsaan iaitu skuad B-22 negara, tetapi kini saya bersama pasukan kelab di mana kejohanan yang berbeza dan bukan peringkat antarabangsa," katanya.
Kim Swee yang masih menyandang jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 1 Jan tahun ini, akan melepaskan posisi itu untuk menyertai skuad Sabah FC berkuat kuasa 1 Okt ini.
"Apabila saya menyertai Sabah FC, tentu saya ingin melakukan yang terbaik dan mencapai satu kejayaan. Kalau saya dapat capai kejayaan dengan pasukan bermakna lengkap karier saya, bukan sahaja dengan pasukan kebangsaan tetapi dengan pasukan kelab," tambahnya.
Beliau yang rindu untuk kembali berdiri di kawasan teknikal permainan mengakui keputusan menerima tawaran sebagai pengarah teknikal FAM sebelum ini bukan berniat untuk mengubah haluan apatah lagi meninggalkan terus dunia kejurulatihan.
Jelasnya, secara am tugas pengarah teknikal tidak banyak beza dengan ketua jurulatih yang perlu merancang dan menyediakan pelan terbaik buat pasukan.
"Jadi segala perancangan yang saya lakukan sebagai pengarah teknikal mungkin dapat membantu saya, lebih-lebih lagi yang kini perlu merancang dan menumpukan perhatian kepada aspek pasukan sahaja," kata bekas pemain kebangsaan itu yang pernah menyarung jersi Melaka dan Sabah.
Pada 10 September lalu, Sabah FC mengumumkan Kim Swee sebagai pengendali baharu menggantikan jurulatih dari Indonesia Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.
Berasal dari Melaka, Kim Swee memulakan karier kejurulatihan bersama negeri kelahirannya sebelum berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula 2007 dengan pelbagai jawatan disandang antaranya ketua jurulatih skuad B-16, skuad B-17, Harimau Muda, skuad B-22 dan skuad kebangsaan.
Antara koleksi kejuaraan diraih sepanjang membimbing pasukan negara adalah juara Piala Belia 2007, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011 dan juara Pestabola Merdeka 2013.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata beliau tidak membelakangkan FAM apabila menerima tawaran untuk mengemudi Sabah FC, malah meletakkan syarat beliau hanya pergi dengan kelulusan serta kebenaran Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.
"Saya tahu bola sepak membawa kita ke serata dunia, mengenali ramai orang dalam sukan tersebut di peringkat Asia atau pun dunia, tetapi FAM telah menjadikan saya seperti mana saya hari ini, jadi saya tidak boleh membelakangkan FAM," katanya yang menepis dakwaan sesetengah pihak keputusannya itu berpunca daripada konflik dalaman. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
Datuk Ong Kim Swee |
|
|
|
|
|
|
| |
|