[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 20, 2021 @ 3:57pm[email protected]
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
KANGAR: Umat Islam dibenarkan bergurau secara umumnya, namun gurauan itu akan menjadi haram sekiranya mengandungi beberapa unsur yang bercanggah dengan syariat.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata bentuk gurauan pada masa kini yang dibenarkan adalah seperti prank, karikatur, parodi, satira, komedi dan seumpamanya, dengan tujuan membawa kepada kebaikan.
"Gurauan yang membawa kebaikan adalah seperti untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab, pendidikan yang lebih berkesan atau segala maksud yang baik maka ia boleh mendatangkan pahala.
"Namun, ia menjadi haram sekiranya terdapat unsur mempermainkan agama Islam, sama ada daripada sudut kepercayaan, syiar atau amalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, hukum bergurau akan menjadi haram sekiranya ia bertujuan memperlekeh dan merendahkan orang lain dalam perkara dan bentuk tidak wajar.
Katanya, ia termasuk mereka-reka sesuatu yang tidak wujud yang membawa keburukan serta mendatangkan mudarat kepada pihak lain sama ada dari segi fizikal, emosi, maruah, harta, ketenteraman, individu atau masyarakat.
"Bergurau juga menjadi haram jika bertujuan maksiat, dosa dan kemungkaran, selain bergurau dengan bahasa dan perlakuan yang tidak wajar menurut uruf setempat.
"Justeru saya menasihatkan masyarakat agar mementingkan sifat kesederhanaan, keseimbangan dan kesesuaian sebagaimana yang dianjurkan dalam agama termasuk dalam permasalahan gurauan," katanya.