[size=0.8][size=0.9]Noorazura Abdul Rahman
[email protected]
Gambar hiasan, ladang ayam. FOTO Arkib NSTP.
Pendang: Kerajaan memberi jaminan isu kenaikan harga makanan ayam sehingga mempengaruhi harga ayam di pasaran hanya bersifat sementara dan akan kembali stabil selepas pandemik Covid-19 diisytihar sebagai endemik.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenaikan harga ayam ketika ini berlaku berikutan negara terpaksa mengimport jagung (makanan ayam) yang bekalannya turut terkesan akibat Covid-19.
"Kita bukan pengeluar jagung, jadi kita terpaksa import kerana jika kita tanam sendiri kosnya jauh lebih tinggi sedangkan negara pengeluar jagung boleh jual pada Malaysia dalam harga yang murah.
"Bagaimanapun ketika pandemik Covid-19 melanda, negara pengeluar jagung turut terkesan dan aktiviti pertanian mereka juga terbatas, jadi hasil jagung negara terbabit menjadi rebutan seluruh dunia menyebabkan harganya turut meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Musim Menuai Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)-PETRONAS di Kampung Nam Dam di sini, hari ini.
DR Nik Muhammad Zawawi (kemeja biru) menaiki jentera menuai ketika melawat kawasan sawah Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) NAFAS-PETRONAS, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.
Muhammad Zawawi berkata, pihaknya menjangkakan pengisytiharan Covid-19 sebagai endemik tidak lama lagi sekali gus memberi kesan terhadap harga makanan berasaskan pertanian.
Mengulas kemungkinan terdapat kes ternakan sakit atau mati di ladang sehingga menyebabkan bekalan ayam berkurangan, beliau berkata, ia memang berlaku namun dalam jumlah yang minimum.
Sementara itu, mengenai program, Muhammad Zawawi memaklumkan ia dilaksana secara projek rintis sejak April lalu dan merekodkan hasil tuaian sangat memberangsangkan.
Katanya, purata hasil pengumpulan bagi musim ini menunjukkan penghasilan sebanyak tujuh tan sehektar berbanding hanya 2.95 tan sehektar pada musim sebelumnya.
"Program ini membabitkan 68 pesawah yang menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang membabitkan keluasan kawasan tanaman 70 hektar dan berharap ia mampu jadi model kepada semua petani terutama generasi muda dalam aplikasi teknologi pertanian," katanya.
Disiarkan pada: September 19, 2021 @ 2:25pm