[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - September 17, 2021 @ 3:16pm[email protected]
Gopaldhass Chitaya bersama wakil OCBC Al-Amin Bank menyampaikan sumbangan komputer riba kepada pelajar daripada keluarga B40 hari ini
SUNGAI PETANI: OCBC AL-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) tampil menyumbang komputer riba bernilai RM20,000 kepada 20 pelajar terpilih kurang berkemampuan di sini, hari ini.
Program kerjasama dengan Kelab Rotary Sungai Petani itu dilaksana bagi membolehkan pelajar dari tiga sekolah mengikuti kelas dalam talian sepanjang pandemik COVID-19.
Presiden Kelab Rotary Sungai Petani, Gopaldhass Chitaya, berkata komputer riba itu disumbang kepada pelajar daripada keluarga B40 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bijaya Setia, SMK Bedong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bedong.
"Pemilihan pelajar dibuat berdasarkan nama dihantar guru kelas kepada pihak sekolah untuk pengesahan Aplikasi Pangkalan Data Murid (AODM) sebelum disahkan Pengetua sekolah.
"Pelajar yang terpilih ini memang layak kerana tidak dapat hadir ketika kelas dalam talian berlangsung kerana masalah kewangan dihadapi keluarga," katanya.
Beliau berkata, sumbangan komputer riba ini diharap dapat membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mengikuti kelas dalam talian supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
"Terima kasih kepada OCBC Al-Amin Sungai Petani kerana sokongan serta komitmen mereka dalam membantu masyarakat terutama yang terjejas ketika ini.
"Kita harap sumbangan ini akan memberi sinar buat pelajar terpilih berkenaan mengikuti sesi pembelajaran dalam talian menggunakan komputer riba yang diberi," katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan OCBC Al-Amin Sungai Petani, Shermaine Cham Keng Fheng, berkata pihaknya akan terus mendekati masyarakat setempat dalam program seumpama itu sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka.
"Kami bersyukur dapat bekerjasama dengan Kelab Rotary Sungai Petani bagi menjayakan program ini dan berharap pelajar terpilih yang menerima komputer riba ini dapat mengikuti kelas dalam talian seperti yang lain.
"Sumbangan ini sekurang-kurangnya diharap dapat membantu mereka pada saat sukar sekarang kerana pendidikan amat penting buat pelajar ini supaya mereka tidak ketinggalan," katanya.