Alor Setar: "Ibu tak sempat pesan apa-apa sebab kami lima beradik terputus hubungan ketika dia dirawat di hospital kerana keadaannya yang makin teruk akibat dijangkiti Covid-19.
"Sebagai anak sulung, saya akan galas tugas menjaga empat adik yang masih kecil," kata Nurin Syazwani Abdul Aziz, 15.
Nurin Syazwani tidak menyangka ibunya, Taheran Md Isa, 46, yang menghidap kanser payu dara tahap empat itu akhirnya pergi buat selama-lamanya selepas dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, ibunya dimasukkan ke wad biasa Hospital Lama Alor Setar untuk mendapatkan rawatan akibat penyakitnya itu, namun disahkan dijangkiti Covid-19 ketika dalam rawatan.
"Ibu terjangkit melalui saya kerana sebelum ini saya tidak tahu yang saya positif Covid-19 sehinggalah doktor memaklumkan ibu turut terkena jangkitan.
"Sebelum ini saya hanya menghantar makanan di wad ibu dan terjangkit melalui adik bongsu sehinggalah dipakaikan gelang pengawasan merah jambu, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Nurin Syazwani berkata, selepas hampir dua minggu bertarung melawan Covid-19, ibunya disahkan meninggal dunia jam 10 malam tadi akibat komplikasi kanser dan Covid-19.
Menurutnya, mereka yang menetap di rumah sewa Flat Seri Setia, Jalan Langgar sebelum ini hanya mengharap wang bulanan yang diterima ibunya melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM600 sebulan untuk membayar sewa rumah dan makanan harian.
"Ayah pula ada keluarga lain dan sebelum ini ibu turut menjaga nenek (Hatijah Hussein, 81) dan menetap bersama kami.
"Saya akan pastikan empat adik saya (Nur Atikah Najwa Abdul Aziz, 14, Ahmad Saif, 12, Nur Aina Liyana, 10, dan Ahmad Said, 7) dijaga sepenuhnya selepas ibu tiada," katanya.
Menurut Nurin, jenazah ibunya selamat dikebumikan 2.30 petang tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan, Derga, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Canser Souvivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, sebelum ini pihaknya turut membantu Taherah dengan menyalurkan sumbangan wang dan barangan dapur sejak Disember tahun lalu.
Katanya, dia bersimpati dengan nasib arwah yang pergi buat selama-lamanya dengan meninggalkan lima anak yang masih kecil.
"Arwah seorang yang baik dan cekal melawan kanser payu dara yang dihidapinya sebelum ini," katanya.