[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 16, 2021 @ 6:09pm[email protected]
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua kiri) berbual dengan pengunjung ketika program outreach prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) daerah Timur Laut di Pantai Shamrock, Tanjung Bungah di sini. - Foto DANIAL SAAD
GEORGETOWN: Polis memantau situasi kawasan tumpuan orang ramai selama empat hari sehingga hujung minggu ini sebagai indikator sama ada membenarkan ia dikunjungi atau sebaliknya.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ia susulan keadaan di beberapa lokasi sekitar negeri ini yang dilaporkan sesak dengan pengunjung pada minggu lalu.
Beliau berkata, jika terdapat kebanjiran pengunjung seperti yang berlaku pada Sabtu dan Ahad lalu, pihaknya akan mendapatkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menutup kawasan riadah berkenaan.
"Saya percaya pada hari cuti umum ini sehingga hujung minggu, orang ramai akan keluar beriadah atau bercuti justeru, kita akan melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Kita akan menempatkan dan mengarahkan anggota merakamkan gambar sebagai bukti atau keperluan kepada agensi lain sekiranya lokasi itu perlu ditutup," katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Shuhaily bersama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong melakukan tinjauan pematuhan SOP di pusat beli belah di Persiaran Gurney; Pantai Shamrock dan Pantai Miami di Jalan Batu Feringghi, di sini.
Mohd Shuhaily berkata tinjauan di lokasi berkenaan mendapati pematuhan SOP pengunjung adalah memuaskan dan keadaan juga terkawal serta tidak sesak.
"Pada masa ini, kita ambil pendekatan bagi menasihati namun jika jumlah jangkitan meningkat, kita akan ambil tindakan.
"Sudah dua tahun berlalu, nasihat demi nasihat sudah diberi kini terpulang kepada tanggungjawab orang awam pula," katanya lagi.
Sementara itu, pengunjung Khatijah Rahman, 45, dari Bayan Lepas, berkata, dia lega kawasan di sekitar Pantai Miami hari ini agak lengang dan kurang pengunjung.
Pada mulanya, dia dan suami, Abdul Manaf Ahmad, 45, bercadang mahu ke lokasi lain sahaja sekiranya sesak.
"Saya sangka cuti umum begini akan ramai orang, mujurlah tidak sesak dan dapat bawa anak perempuan kami berusia dua tahun mandi di pantai selepas sekian lama tidak ke sini.
"Mungkin orang ramai pun takut hendak keluar memandangkan kes meningkat selain bimbang berlaku kejadian sesak seperti yang tular di media sosial," katanya lagi.