[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - September 15, 2021 @ 4:36pm[email protected]
Kakitangan PKD Seberang Perai Tengah melakukan pemeriksaan di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam sebelum bertindak menutup kawasan itu selama tujuh hari selepas terdapat pelanggaran SOP. - Foto ihsan PKD Seberang Perai Tengah
BUKIT MERTAJAM: Empangan Mengkuang di sini, yang menjadi tumpuan warga Seberang Perai untuk beriadah diarah tutup selama tujuh hari.
Ia selepas pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah pagi tadi, mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Difahamkan, kira-kira 14 pengunjung dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti riadah di empangan itu.
Susulan itu, empangan berkenaan ditutup sementara bermula hari ini dan dijangka dibuka semula kepada orang awam pada Khamis depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata pihaknya akur dengan arahan penutupan itu yang dilakukan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Penutupan sementara itu dibuat bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Pulau Pinang dan PBAPP patuh dengan arahan ini demi keselamatan orang awam.
"Anggota polis bantuan kini sudah diarahkan untuk menghalang kemasukan orang ramai ke empangan terbabit sepanjang tempoh penutupan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang awam yang mengunjungi semua pusat rekreasi di bawah PBAPP diminta mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Selain Empangan Mengkuang, SOP sama juga membabitkan Empangan Air Hitam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar.
"Mereka yang mengunjungi semua lokasi ini perlu mematuhi arahan antaranya lengkap vaksinasi dan bagi individu berusia 17 tahun ke bawah perlu masuk bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah divaksinasi," katanya.
Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan, berkata pihaknya akan menutup premis atau kawasan yang didapati melanggar SOP.