|
Kuala Lumpur: Kalendar bola sepak negara khususnya di peringkat amatur dan belia terus suram apabila saingan Liga M3 sah dibatalkan musim ini ekoran pandemik Covid-19.
Keputusan pembatalan itu diumumkan Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas pihaknya mendapat persetujuan daripada semua pasukan bertanding.
Katanya, majoriti bersetuju dengan pembatalan saingan divisyen ketiga itu dan mahu mengalihkan fokus kepada kejohanan berkenaan pada musim depan.
"AFL pada dasarnya ingin meneruskan pertandingan dengan pilihan untuk menganjurkan liga itu secara gelembung sukan bermula November 2021 dan telah membentangkan kertas kerja kepada semua pasukan.
"Namun begitu, pembatalan diputuskan setelah mengambil kira segala faktor termasuk hal-hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan yang dihadapi oleh AFL dan pasukan," katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurutnya lagi, Liga M3 pada musim depan dijangka berlangsung lebih awal bermula Februari depan dengan mengekalkan penyertaan kesemua pasukan musim ini.
Untuk rekod, FAM sebelum ini membatalkan saingan Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) buat kali kedua berturut-turut berikutan pandemik Covid-19.
Malah, ia turut tidak mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pemain dan pegawai pasukan bertanding. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
YUSOF berkata majoriti bersetuju dengan pembatalan saingan divisyen ketiga itu. FOTO NSTP |
|
|
|
|
|
|
| |
|