[size=0.8]Oleh Aizat Sharif - September 11, 2021 @ 11:23am[email protected]
Walaupun sedang hamil lima bulan Nur Diyana sentiasa memandu bas dengan penuh berhemah. - Foto NSTP Nur Diyana
KANGAR: Bermula sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, hasratnya untuk menambahkan pendapatan keluarga membuatkan Nur Diyana Md Radzi, 33, tidak betah untuk duduk di rumah.
Malah, Nur Diyana sanggup melakukan satu keputusan drastik yang jarang dilakukan oleh wanita iaitu menjadi pemandu bas henti-henti MyBAS Perlis di bawah kendalian syarikat MARA Liner Sdn Bhd, sejak dua tahun lalu.
Demi komitmen tugasnya itu Nur Diyana saban hari berulang alik dari kediamannya di Alor Setar ke Kangar untuk membawa bas di Perlis walaupun ketika ini dia sedang hamil lima bulan.
Nur Diyana yang kini adalah pemandu bas wanita tunggal MyBAS Perlis, juga bertuah kerana suaminya, Nur Mozid Akhbar, 35 yang bertugas sebagai pembantu penguatkuat kuasa sebuah kementerian di Sungai Petani, Kedah, merestui keputusan dibuatnya.
"Sebelum ini saya suri rumah dan tiada pengalaman memandu bas atau kenderaan berat lain.
Namun disebabkan minat untuk memandu kenderaan berat, saya menyahut peluang yang ditawarkan oleh Pusat Giat MARA untuk memperoleh lesen membawa kenderaan berat.
"Tanpa bertangguh, saya cuba untuk mendapatkan lesen kelas PSV untuk kenderaan bas dan dalam masa tempoh latihan itu, Pusat Giat MARA ada melakukan temuduga untuk pengambilan sebagai pemandu bas bagi syarikat MARA Liner Sdn Bhd.
"Saya pun pergi ke temuduga itu dan Alhamdulilah, berkat doa dan izin suami saya diterima sebagai pemandu bas," katanya kepada BH selepas ditemui ketika melakukan pemanduan bas dari Terminal Bas Bukit Lagi, di sini ke laluan Kilang Gula di Chuping, semalam.
Katanya, dia diterima bertugas sekitar Disember 2019 dan tugasan pertama, membawa bas dari Stesen Bas Kangar ke kawasan Panggau yang jaraknya sekitar 4.5 kilometer.
"Hari pertama tugasan memang gementar kerana membawa penumpang dan syukurlah, latihan selama enam bulan, saya berjaya atasi rasa gemuruh itu dan berjaya mengendalikannya dengan baik dan lancar.
"Pengendalian bas henti-henti seperti MyBAS ini tidaklah rumit kerana segalanya dilakukan secara automatik melalui sistem yang dipasang pada bas ini.
"Namun ada beberapa aspek yang perlu diambil perhatian terutama cara pemanduan, termasuklah ketika membelok dan mengundur kerana setiap pemandu akan diberikan tugasan membawa bas untuk laluan berbeza setiap hari.
"Pengendalian bas mungkin sama namun laluan tugasan tidak sama kerana berkemungkinan jika hari ini mendapat laluan Kangar ke Kilang Gula, mungkin esok kita perlu membawa bas ke laluan Kangar ke Padang Besar atau Kangar ke Alor Setar pula," katanya.
Nur Diyana berkata, lima anaknya yang berusia lima hingga 10 tahun kini mulai mengerti dengan pekerjaan dilakukannya.
"Banyak juga karenah penumpang yang terpaksa dilalui tetapi saya hadapkan juga kerana ini adalah mata pencarian saya.
"Selain daripada cabaran memandu bas mengikut bentuk dan keadaan fizikal jalan, saya juga perlu berwaspada soal keselamatan memandu bas bersendirian di laluan sunyi seperti ke Padang Besar terutama pada waktu malam.
"Kadangkala untuk perjalanan terakhir pada hari berkenaan, hanya ada seorang sahaja penumpang lelaki atau warga asing yang akan menaiki bas dan situasi itu juga agak mendebarkan. Saya akan memaklumkan kepada pejabat pentadbiran mengenai situasi itu.
"Pihak atasan akan sentiasa memantau dan memastikan saya selamat selain penumpang yang dibawa itu benar turun di destinasi ditetapkan," katanya.