KUCHING: Penduduk luar bandar atau penghuni rumah panjang diingatkan lebih berwaspada bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19 terus merebak.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Johnny Pangkas berkata ia terutama kini wujudnya varian Delta, yang lebih cepat merebak dalam kalangan individu.
“Jika kita lihat varian sebelum ini, ia boleh menjangkiti satu atau dua individu tetapi kini varian Delta ia boleh menjangkiti empat hingga lima orang. Satu lagi contoh misalnya di rumah panjang yang memiliki 100 penghuni daripada itu 70 hingga ke 90 individu boleh didapati positif akibat varian Delta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Randau Pengerai COVID-19: Varian Delta anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerusi siaran langsung Facebook, hari ini.
Dr Johnny yang juga Pegawai Kesihatan Bahagian Betong berkata, kini virus COVID-19 tidak hanya berlaku di lokaliti tertentu tetapi kebanyakan tempat di Sarawak termasuk luar bandar.
Sehubungan itu pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun jabatan perlu lebih ketat.
Katanya tidak mengira di mana sama ada rumah panjang atau kampung, orang ramai harus sentiasa mengamalkan kebersihan yang tinggi dan menjaga penjarakan sosial.
“Walaupun anda sudah lengkap dua dos vaksin tetapi SOP tetap masih perlu dipatuhi. Ini kerana meskipun telah mendapat vaksin ia tidak menjamin anda tidak dijangkiti.
“Pemberian vaksin adalah bertujuan bagi mengurangkan risiko kita sakit dengan teruk dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sekiranya kita positif COVID-19,” katanya.
Beliau menegaskan mereka yang tidak mempunyai urusan penting tidak digalakkan keluar dan sekiranya perlu, mereka harus memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial.
Jelasnya elakkan daripada memasuki premis yang mempunyai khayalak ramai atau premis yang agak sempit.
“Selain itu, saya ingin menasihatkan khasnya penduduk rumah panjang agar tidak menganjurkan aktiviti melibatkan orang berkumpul. Banyak kluster tercetus selepas aktiviti perkahwinan, hari jadi dan sebagainya. Kalau boleh elakkan daripada menganjurkan aktiviti seperti ini,” tegasnya.
Dr Johnny berkata kini dengan varian Delta yang mempunyai simptom atau gejala berbeza termasuk sakit kepala, sakit tekak, selsema, demam dan batuk.
“Jika anda mengalami gejala berkenaan diminta pergi ke klinik berdekatan dengan segera untuk mendapatkan ujian calitan COVID-19,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/03
|