JIMMY
KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mengecualikan caj faedah pinjaman sepanjang tempoh moratorium.
Pengerusi Parti Liberal Demokratik (LDP) Bahagian Karambunai Jimmy Lai berkata, sektor bank dijangka akan merekodkan hasil pendapatan yang lebih tinggi tahun ini berbanding tahun 2020 dan 2019.
"Contohnya, Maybank dilaporkan memperolehi pendapatan setinggi 16.6 peratus untuk suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2020.
"Setakat 30 Jun lepas, bank berkenaan berjaya menggandakan hasil pendapatan ke RM1.96 bilion daripada RM941.73 juta pada 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi yang merundum, industri bank jelas tidak terjejas akibat pandemik COVID-19.
Katanya, walaupun peminjam tahu mereka akan dikenakan caj faedah terhadap pembayaran bulanan, pengguna tidak mempunyai pilihan selain mendaftar moratorium memandangkan terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Memandangkan bank mampu menjana keuntungan tinggi, mereka wajar mengecualikan caj faedah pembayaran untuk tempoh enam bulan kepada pemohon moratorium yang berjaya.
"Keadaan ekonomi kini menyebabkan pelbagai industri kecil dan sederhana (PKS) terjejas teruk," katanya.
Katanya, sekiranya PKS terjejas teruk atau perniagaan ditutup, bank akan menerima kesan dan ianya tidak baik untuk ekonomi negara.
Beliau berharap kerajaan tidak hanya fokus untuk memerangi pandemik COVID-19 tetapi seimbangkan dengan memberikan tumpuan terhadap kehidupan rakyat.
Jimmy juga berharap sektor bank akan sudi membantu mereka yang terjejas teruk akibat pandemik, usaha itu akan dilihat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|