Mayat mangsa yang dilaporkan hilang di Sungai Enseluai, Nanga Lasi, Julau telah ditemui pagi tadi. - Gambar ihsan bomba
JULAU: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar ke kebun di seberang rumah panjang mereka di Rumah Lidom, Sungai Enseluai, Nanga Lasi, Julau, pada Ahad ditemui lemas hari ini.
Mayat mangsa, Sulau Bilong, 78, ditemui oleh penduduk kampung dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.20 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, mayat mangsa ditemui terapung dan tersangkut pada dahan kayu di sungai terbabit, kira-kira satu kilometer dari pengkalan perahu rumah panjang mangsa.
"Berikutan itu, mayat mangsa dibawa ke rumah panjang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Dengan penemuan tersebut, operasi SAR yang memasuki hari kedua telah ditamatkan pada jam 9 pagi," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Operasi SAR pada hari ini bermula pada jam 8 pagi dengan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga penduduk kampung.
Dalam kejadian pada Ahad, mangsa dilaporkan turun ke kebun mereka yang terletak 100 meter dari rumah panjang pada jam 4.15 petang untuk mengambil penyembur racun di kebun lada mereka.
Namun hingga lewat petang, mangsa belum lagi balik ke rumah dan menyebabkan keluarganya risau terhadap keselamatan mangsa dan memaksa ahli keluarga mangsa memohon bantuan untuk mencari mangsa.
Penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa dan menemui perahu milik mangsa dan mendapati terdapat banyak serpihan kayu reput di dalam perahu tersebut.
Berikutan itu, penduduk rumah panjang khuatir mangsa telah terjatuh ke dalam sungai.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
berita sebelum ini
https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=1268952&extra=page%3D1
|