|
BEAUFORT: Sebutir bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di tapak pembinaan perumahan berhampiran Taman Wawasan di sini semalam.
Sekumpulan pekerja di tapak pembinaan berkenaan menemukan bom terbabit kira-kira jam 10 pagi sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai penemuan bom terbabit.
Menurutnya, bom lama berkenaan dipercayai dari jenis 'Air Drop' yang digugurkan oleh tentera British menggunakan pesawat udara namun tidak meletup.
"Bom terbabit berukuran tiga kaki panjang dengan ukuran lilit sepanjang tiga kaki dan dianggarkan seberat kira-kira lebih 200 kilogram.
"Anggaran jarak bahaya letupan bom berkenaan mampu mencecah sehingga 500 meter," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi memusnahkan bom berkenaan dilaksanakan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sekitar jam 2 petang ini di lokasi bom ditemukan.
Selain itu jelasnya, anggota polis turut ditugaskan bagi mengawal kawasan penemuan bom sehingga proses meletupkan bom selesai dijalankan.
oleh
Siti Aisyah Narudin
|
|