|
KUALA LUMPUR -Sejak program imunisasi COVID-19 diperkenalkan di Malaysia, negara tidak pernah sunyi daripada pelbagai teori konspirasi dan dakyah palsu untuk membuktikan kononnya suntikan berkenaan sarat dengan pelbagai keburukan.
Bukan sekadar mendakwa vaksin berkenaan menggunaan ramuan bahan tidak halal, ia juga dikatakan penyebab kepada jutaan reaksi buruk, termasuk kematian.
Fahaman salah disebarkan golongan anti vaksin atau gemar melabel diri sendiri sebagai Pro Choice ini sedikit sebanyak mencetuskan ketakutan dan kekeliruan kepada orang awam.
Ia disebarkan dengan begitu meluas di media sosial dan pelbagai aplikasi perbualan, malah ada yang sehingga mewujudkan kumpulan khas, khusus bagi membincangkan pelbagai kesan buruk akibat pengambilan vaksin COVID-19.
Terbaru, tular sebuah rakaman video memaparkan bagaimana warna darah boleh berubah, ketika melakukan amalan berbekam selepas pengambilan vaksin tersebut.
Ia menimbulkan kebimbangan orang ramai, khususnya mereka yang masih belum mendapatkan suntikan berkenaan.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, warna darah selepas pengambilan vaksin tidak akan bertukar kerana suntikan terbabit tidak mengandungi sebarang unsur yang boleh membawa kepada perubahan itu.
"Darah yang keluar dari kulit kita akan membeku mengikut masa tertentu, sama ada berwarna cerah atau pekat kehitaman, ia berbeza berdasarkan situasi, namun bagi kebanyakan manusia, (warnanya) adalah sama.
“Contohnya orang yang mengalami anemia (hemoglobin sel darah merah rendah) darah mereka akan nampak lebih cerah, cair dan berplasma. Sekali imbas nampak seolah bernanah. Bagi yang berpenyakit Polycytemia pula, darah mereka kelihatan pekat kerana kekurangan serum," katanya kepada Getaran ketika dihubungi di sini.
Menurut Dr Suhazeli, suntikan vaksin diberikan melalui tusukan jarum ke dalam otot bahu, sedangkan darah yang keluar daripada proses berbekam adalah dari lapisan bawah kulit.
“Perubahan warna darah akibat suntikan imunisasi ini adalah satu lagi mitos rekaan golongan tidak bertanggungjawab, iaitu puak sama menyebarkan kononnya vaksin berkenaan mengandungi cip komputer untuk menjejaki semua pergerakan kita.
“Puak ini aktif menyebarkan pelbagai dakyah mengarut, kononnya vaksin COVID-19 boleh megubah DNA atau genetik penerima, malah membawa kepada pemandulan dan penghapusan tamadun manusia,” katanya, kesal.
Semua mitos berkenaan tegas Dr Suhazeli, sudah disanggah sedari awal oleh pakar perubatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Golongan anti vaksin juga katanya, tidak seharusnya menggunakan dalil agama bagi ‘menghalalkan’ perbuatan mereka menyebarkan berita palsu kepada orang ramai.
" Dalam situasi genting seperti pandemik ini, perlindungan ke atas nyawa adalah menjadi keutamaan bagi memelihara kesinambungan generasi dan kelangsungan umat manusia.
“Tiada istilah vaksin itu haram menurut agama Islam, namun yang menjadi persoalan, berapa ramai yang mahu mengambil suntikan ini secara sukarela,” katanya.
Tindakan golongan anti vaksin yang cenderung mempengaruhi orang ramai menolak suntikan imunisasi itu katanya, berpotensi menyebabkan penularan virus COVID-19 menjadi semakin teruk.
"Anti vaksin memang tak ramai, lebih kurang lima peratus sahaja tetapi suara mereka sangat lantang dan berpotensi menukar pandangan individu atas pagar untuk menolak vaksin.
"Ia tak sama dengan golongan yang menolak vaksin kerana ragu-ragu. Tak mahu (ambil) vaksin, itu pilihan anda kerana ia sememangnya bukan kewajipan, namun jangan sebarkan fakta palsu yang mampu mengelirukan masyarakat, " tegasnya.
Dr Suhazeli menambah, orang ramai perlu peka mengenai isu vaksin COVID-19 dan jangan sewenang-wenangnya membiarkan diri mereka terpengaruh dengan dakwaan serta maklumat yang tidak tepat.
"Jangan mudah terpengaruh dengan mitos dan info palsu di media sosial, termasuk menyapu madu lebah di kawasan suntikan untuk meneutralkan kandungan vaksin kerana tiada bukti mahupun kajian yang rasmi mengesahkan pekara tersebut.
"Terdapat banyak kajian dan nasihat daripada pakar vaksin yang berwibawa dan tepat di laman rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), rujuklah jika terdapat persoalan mengenai vaksin COVID-19 ini," katanya. - Getaran, 27 Ogos 2021.
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|