|
SARIKEI: Seorang pemburu maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan pemburu lain yang menyangkanya seekor burung ketika keluar memburu di hutan Nanga Dayu, Pakan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam Sulin berkata, mangsa Nissa ak Jamau, 29, keluar dan berjalan kaki selama dua jam dari arah rumah Anthony, Sungai Merah, Pakan, bersama dua orang lagi rakannya masuk ke hutan berkenaan untuk pergi berburu jam 2.30 petang.
"Mereka berhenti sebentar untuk berehat, pada hari yang sama jam 4 petang, suspek lelaki berusia45 tahun telah keluar bersendirian memburu dengan berjalan kaki selama lebih kurang satu jam dari arah Ulu Budu, Saratok.
"Sampai di tempat kejadian suspek telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkanya seakan-akan seekor burung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selepas melepaskan tembakan suspek terus bergerak ke arah sasaran dan mendapati dia telah tertembak mangsa.
"Suspek telah meminta maaf kepada dua orang rakan mangsa kemudian balik ke rumah dalam keadaan ketakutan.
"Mangsa telah mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan itu," katanya.
Beliau berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 9.25 malam tadi.
"Hasil siasatan awal pihak polis lokasi kejadian antara sempadan rumah Uding, Ulu Budu, Saratok dengan rumah Anthony, Sungai Merah, Dayu Pakan.
"Suspek bertindak menyerah diri ke Balai Polis Julau dan ditangkap pada jam 2 pagi,"katanya.
Andam berkata,mayat mangsa telah dibawa Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.
"Pemeriksaan awal mendapati lebih 15 kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM 10,000 atau kedua-duanya.
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|