|
Untuk bacaan kita bersama
TOKYO: Jepun akan menggantung penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna selepas beberapa kumpulan vaksin tersebut dilaporkan tercemar, menurut pembuat ubat-ubatan Takeda dan kementerian kesihatan negara itu pada Khamis (26 Ogos).
Takeda, yang bertanggungjawab ke atas penjualan dan pengedaran vaksin Moderna di Jepun, menyatakan bahawa ia "menerima aduan daripada beberapa pusat vaksinasi yang mendakwa bahan asing ditemui pada beberapa bebuli vaksin yang belum dibuka daripada kumpulan-kumpulan tertentu".
"Setelah mendapatkan nasihat kementerian kesihatan, kami memutuskan untuk menggantung penggunaan vaksin daripada bekalan vaksin yang terjejas mulai 26 Ogos," tambah kenyataan tersebut.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa ia sudah memaklumkan pihak Moderna dan "meminta siasatan segera dijalankan".
Moderna bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Takeda meskipun tidak mendedahkan perincian lanjut mengenai pencemaran itu, menyatakan bahawa sejauh ini ia tidak menerima sebarang laporan tentang keprihatinan yang dibangkitkan terhadap dos-dos yang terjejas.
Kementerian Kesihatan Jepun menyatakan bahawa ia akan bekerjasama dengan Takeda untuk mendapatkan dos-dos alternatif bagi mengelakkan gangguan pada program vaksinasi negara itu, yang kini dipertingkatkan menyusuli permulaan yang lembap.
Sekitar 43 peratus penduduk Jepun sudah divaksin sepenuhnya, namun negara itu sedang berdepan dengan lonjakan pada jumlah kes COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta yang lebih mudah berjangkit.
Sekitar 15,500 orang meninggal dunia kerana COVID-19 di negara itu semasa pandemik dan sebahagian besar Jepun kini dikenakan perintah berkurung.
credit
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|