[size=0.8]Noorazura Abdul Rahman - Ogos 24, 2021 @ 9:41pm[email protected]
Kemusnahan di Salak Denai akibat banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
ALOR SETAR: Seramai 28 penduduk yang tinggal di kawasan banjir akibat tragedi kepala air Rabu lalu disahkan positif COVID-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo, berkata terdapat tiga kes dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
"Sebanyak 10 kes pula dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungai Petani untuk pengawasan lebih rapi.
"Terdapat 15 kes lain yang tanpa gejala atau bergejala ringan terus tinggal di rumah masing-masing dan diawasi oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Yan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Dr Othman, berkata seramai 41 individu pula diletakkan di bawah pengawasan (PUS) tinggal di rumah dan diawasi secara bersepadu oleh pasukan pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa lain dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Yan.
Katanya, dengan berakhirnya operasi mencari dan menyelamat (SAR), saringan ke atas anggota SAR menggunakan kit ujian pantas (RTK) saliva dilakukan oleh PKD Yan semalam antara jam 4 petang hingga 7 malam bertempat di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Titi Hayun, Yan.
"Seramai 275 anggota terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Yan dan pelbagai agensi penyelamat lain, serta pasukan malim gunung menjalani saringan dengan 274 anggota didapati negatif.
"Satu sampel yang menunjukkan keputusan 'intermediate'' telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk ujian lanjut dan disahkan negatif," katanya.
Dr Othman turut memaklumkan hasil penilaian risiko oleh PKD Yan mendapati risiko jangkitan penyakit bawaan air banjir adalah rendah.
Katanya, tiada laporan keracunan makanan atau jangkitan leptospirosis diterima oleh pejabat berkenaan.
"Sebagai tindakan pencegahan, PKD Yan telah mengambil beberapa langkah segera seperti penilaian kesihatan segera terhadap semua pesakit COVID-19 dan merujuk pesakit yang berkenaan ke PKRC atau hospital.
"Kita juga turut melakukan lawatan ke rumah semua kes COVID-19 dan PUS bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik dan terus patuh arahan kuarantin.
"Kakitangan PKD bersama polis juga meninjau dan memberi teguran kepada penduduk dan sukarelawan sekiranya mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Sehingga semalam 156 rumah dilawati bagi penilaian kesihatan fizikal dan psikososial penduduk yang terbabit banjir dan operasi berkenaan masih diteruskan," katanya.
Selain itu, Dr Othman berkata sehingga semalam seramai 39,560 menerima suntikan dos pertama atau 73.9 peratus daripada penduduk yang layak dan 23,900 atau 44.7 peratus telah lengkap menerima dos kedua.
Daerah Yan mempunyai penduduk seramai 78,000 orang dengan 53,500 daripadanya berumur 18 tahun ke atas.
Dalam pada itu, Dr Othman, PKOB Daerah Yan juga membuat ketetapan semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kerja sukarela di Yan perlu lengkap divaksin dan membuat saringan COVID-19.