KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa menyiasat dan mengheret pihak yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan alam sekitar di Ulu Baleh ke muka pengadilan.
Ketua Program Pemuliharaan Sarawak Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berkata, Dr Jason Hon berkata, Ulu Baleh merupakan kawasan tadahan air utama bagi bahagian Kapit, Sibu, Sarikei dan Mukah.
Kemusnahan alam sekitar itu katanya, telah menyebabkan kejadian lambakan sisa-sisa kayu hanyut dari Batang Baleh kemudian membanjiri Batang Rajang. “Kejadian ini telah memberi kesan kepada ekosistem dan kehidupan penduduk terutama yang tinggal di kawasan terbabit.
“Justeru, pihak yang melakukan kesalahan ini harus dikenakan tindakan tegas selain perlu menanggung bayaran kos pembersihan sisa-sisa kayu yang hanyut di sungai,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu sisa kayu balak hanyut di Batang Baleh yang tular dan dilaporkan secara meluas oleh media Sabtu lalu.
Dr Hon menambah, penyiasatan itu boleh dilakukan oleh pihak penguatkuasaan hutan melalui unit risikan dan sistem pemantauan jarak jauh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden ini.
"Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana bukan sahaja mencemarkan imej negara bahkan menjejaskan usaha kita ke arah pengurusan dan pensijilan hutan lestari," katanya.
Beliau berharap pihak penguatkuasa yang terlibat akan melakukan siasatan secara menyeluruh, telus dan cepat untuk menyelesaikan isu ini.
Dr Hon mengingatkan bahawa kemusnahan alam sekitar yang berlaku di pedalaman dan hulu boleh memberi kesan kepada mereka yang tinggal di hilir.
"Fenomena ini mempengaruhi seluruh Baleh dan Rajang kerana apa yang berlaku di hulu akan turut memberi kesan kepada masyarakat di hilir.
"Kita memerlukan pendekatan aliran sungai yang bersepadu selain mengendalikan kawasan hulu secara kolektif dan holistik," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, WWF-Malaysia menyambut baik saranan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing untuk tidak memperbaharui lesen syarikat konsesi kayu balak daripada terus beroperasi di hulu Batang Baleh.
Terdahulu, tular mengenai kejadian longgokan sisa-sisa kayu yang turut digelar penduduk setempat sebagai apat, yang hanyut membanjiri Sungai Batang Rajang bermula dari Ulu Baleh sehingga ke kawasan Kapit, Song, Kanowit, Sibu dan seterusnya ke kawasan hiliran lain.
utusanborneo.com.my/2021/08/24
|