INGGU lalu Sarawak digegarkan dengan kejadian tembak oleh anggota TUDM di Skuadron 330 Kota Samarahan yang meragut empat nyawa. Ia adalah satu kejadian yang amat tragis apabila suspek turut membunuh diri selepas menembak tiga lagi rakan setugas.
Kejadian seumpama itu adalah pertama kali berlaku dalam sejarah ketenteraan Malaysia.
Dengan kejadian itu, negara bukan sahaja kehilangan sumber tenaga pakar malah ia membawa trauma tersendiri kepada pihak yang terlibat.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak atau membuat sebarang andaian, namun saya amat bersimpati dengan kesemua mangsa.
Ini kerana berpisah hidup mungkin rasa cinta bersulam benci tetapi berpisah mati, orang yang tersayang mereka perlu menanggung rindu yang tiada penghujungnya.
Menyedari tanggungjawab saya sebagai masyarakat dan peranan saya sebagai penulis, saya berkesempatan menemu ramah seorang Pakar Pencegahan Bunuh Diri dari Hospital Miri iaitu Dr. Ravivarma Rao beberapa bulan lalu.
Katanya, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019 kadar bunuh diri di Malaysia ialah 5.8 kematian setiap 100,000 individu yang melibatkan kadar untuk lelaki adalah sembilan setiap 100,000 and wanita 2.4 setiap 100,000.
Walaupun kerap dilaporkan di media sejak akhir-akhir ini, kita masih tidak boleh simpulkan kadar bunuh diri meningkat atau menurun melainkan pelaporan bunuh diri yang semakin kerap.
Menurutnya lagi, punca bunuh diri adalah sangat kompleks dan selalunya pelbagai faktor risiko sedang berinteraksi antara satu sama lain.
Terdapat faktor-faktor risiko individu seperti masalah kesihatan mental, sejarah percubaan bunuh diri, perasaan putus asa, ketiadaan sumber pendapatan, penyalahgunaan dadah atau alkohol, sejarah bunuh diri dalam keluarga, masalah perhubungan dengan orang lain dan sistem sokongan sosial yang rapuh.
Selain itu, faktor-faktor sistemik seperti keadaan negara (peperangan, kegawatan ekonomi), sistem perundangan dan perlindungan sosial, pelaporan media tentang bunuh diri, stigma masyarakat, akses kepada kaedah bunuh diri serta kemudahan untuk mendapatkan bantuan kesihatan juga memainkan peranan dalam risiko bunuh diri.
Oleh itu, tidak wajar untuk menyatakan hanya satu faktor adalah punca bunuh diri.
Sadis bukan? Individu yang cenderung membunuh diri amat buntu dalam menyelesaikan masalah mereka.
Jadi sebagai masyarakat kita boleh mencegah individu mengambil nyawanya sendiri. Pertamanya mengenal pasti seorang yang cenderung bunuh diri. Perubahan cara percakapan, tingkah laku dan penjagaan diri boleh diperhatikan oleh individu yang mengenali seseorang tersebut.
Ayat-ayat seperti “lebih baik saya tak ada” ataupun “daripada hidup macam ini, lebih baik saya mati” adalah contoh tanda-tanda lisan.
Selain itu, perubahan tingkah laku seperti gejala penyakit mental seperti kemurungan, psikosis (halusinasi), perwatakan yang semakin menyendiri ataupun tiba-tiba menjadi ceria juga harus dipertimbangkan – mungkin juga jadi terlalu senyap.
Tegasnya, yang penting ialah apabila kita sedar ada perubahan dalam seseorang yang kita kenali, kita tidak patut meragu-ragu untuk bertanya sama ada mereka dalam keadaan baik atau tidak yang mungkin menjadi pembuka bicara.
Bertanya tentang bunuh diri tidak memberikan idea bunuh diri. Untuk individu yang bercenderung untuk bunuh diri dan dalam krisis, keadaan tersebut ialah situasi yang terbuntu.
Sebelum memberi pendapat, kita harus mendengar daripada pandangan mereka dan cuba melihat situasi ini daripada sudut mereka.
Perakuan terhadap situasi tersebut sangat membantu sebelum kita cuba menawarkan pilihan bantuan.
Mungkin ada yang berasa takut untuk berjumpa dengan ahli profesional, mitos tersebut pun harus dibetulkan. Walaupun penting untuk tidak memaksa, kita tidak harus merahsiakan niat bunuh diri seseorang.
Bantuan dan harapan masih ada. Anda tidak perlu mengharunginya secara seorang diri.
Sekiranya anda dalam krisis, sila bercakap dengan seorang yang anda percayai ataupun menelefon talian bantuan seperti Befrienders (03-76272929) yang beroperasi 24 jam setiap hari.
Anda juga boleh mendapatkan bantuan di klinik kesihatan dan hospital terdekat juga.
suarasarawak.my
|