|
London: Wolves dilaporkan mengadakan rundingan untuk mendapatkan pertahanan Portugal, Ruben Semedo yang dijatuhkan hukuman penjara tertangguh lima tahun dan dilarang memasuki Sepanyol selama lapan tahun pada Julai tahun lalu.
Pertahanan tengah Olympiacos berusia 27 tahun itu ditahan lima bulan oleh pihak berkuasa Sepanyol dan kemudiannya didapati bersalah selepas terbabit jenayah antaranya rompakan, menculik, menyerang dan memiliki senjata api.
Dia ditahan pada 2018 ketika beraksi di Sepanyol selepas didakwa memukul dan mengikat seorang lelaki di rumahnya sebelum menyamun mangsa bersama dua lagi rakannya.
Semedo yang turut didakwa atas cubaan membunuh, tuduhan yang sering dinafikannya terlepas penjara apabila membayar wang jaminan £25,000 (RM145,654).
Tetapi mahkamah di Valencia menjatuhkan hukuman penjara tertangguh lima tahun dan melarangnya memasuki Sepanyol selama lapan tahun pada Julai 2020.
Bagaimanapun, rekod buruk Semedo tidak menghalang Wolves untuk mendapatkannya secara pinjaman dengan kontrak setahun.
Menurut The Sun, pengurus Bruno Lage turut memasukkan klausa pilihan pembelian Semedo yang pernah beraksi bersama Villarreal dan Sporting Lisbon.
Media Sepanyol melaporkan ketika dia dijatuhkan hukuman, Semedo yang mempunyai tiga kap bersama Portugal mendakwa dia terpaksa melakukan jenayah itu akibat hutang kepada pihak ketiga.
Villarreal menggantung Semedo dan cuba menjualnya sebelum melengkapkan perpindahan ke Olympiacos pada 2019.
HMetro
|
|