|
London: Ejen Cristiano Ronaldo dilapor menawarkan khidmat bekas bintang Manchester United itu kepada pasukan jiran, Man City.
Laporan turut mendakwa bintang Portugal itu boleh diperolehi dari Juventus dengan harga hanya £26 juta (RM151.98j).
Ronaldo yang berusia 36 tahun dikaitkan dengan beberapa pasukan pada musim panas ini susulan kempen musim 2020-21 yang mengecewakan di Itali.
PSG dan bekas kelabnya, United serta Real Madrid kesemua dikaitkan dengan penyerang itu yang memasuki 12 bulan terakhir dalam kontraknya.
Pengarah Juve, Pavel Nedved baru-baru ini menggesa kelab lain melupakan hasrat mendapatkan Ronaldo pada musim panas kerana dia mahu kekal bersama gergasi Serie A itu.
Bagaimanapun, Corriere dello Sport mendakwa ejen Ronaldo, Jorge Mendes kini menawarkan pemain veteran itu kepada Man City dengan Juventus sedia menerima £26 juta bagi mengelakkan sebarang kerugian.
Juara Liga Perdana Inggeris kendalian Pep Guardiola pula sangat memerlukan penyerang berprofil tinggi bagi mengatasi masalah ketandusan jaringan.
Mereka masih gagal mendapatkan sasaran utama, Harry Kane tetapi berusaha dengan satu lagi tawaran bernilai £140 juta (RM818j).
Selepas Messi menjadi milik PSG, pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo boleh menjadi alternatif kepada City. Bekas bintang Real Madrid itu muncul penjaring terbanyak Serie A musim lalu dengan 29 gol.
Sepanjang tiga tahun bersama Juve, Ronaldo meledak 101 gol dalam 133 penampilan dalam semua kejohanan tetapi jika perpindahan ke Etihad menjadi kenyataan ia pasti merobek hati penyokong Red Devils yang masih mengharapkan dia pulang ke Old Trafford suatu hari nanti.
HMetro
|
|