Tiada parti politik boleh bentuk kerajaan sendiri: Salleh
KOTA KINABALU: Realiti politik negara ketika ini menunjukkan tiada parti politik yang mampu membentuk kerajaan sendiri.
Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berkata, senario berkenaan adalah realiti sebenar yang dihadapi politik negara sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan ini berkata, melihat kepada situasi ketika ini, ada keperluan untuk penjajaran semula dan kompromi yang melibatkan semua pihak.
Bagaimanapun katanya, fokus utama yang seharusnya dibuat adalah usaha pemulihan.
"Parti politik perlu ingat perkara ini dan mempercayai Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang akan memikul tanggungjawab ini.
"Perdana Menteri baharu boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan Kabinet kecil, mahir dan bipartisan bagi membina kestabilan," katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook di sini hari ini.
Salleh berkata demikian bagi mengulas tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tindakan Muhyiddin meletakkan jawatan disusuli oleh barisan menteri Kabinet yang lain.
Namun Yang di-Pertuan Agong melantik beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Sementara (caretaker) sebelum pelantikan Perdana Menteri baharu dalam tempoh terdekat.
utusanborneo.com.my/2021/08/17
|