Edited by Vellfire at 16-8-2021 11:01 AM
Dua maut, seorang parah dalam insiden amuk di Muara Tabuan
KUCHING: Dua lelaki maut dan seorang lagi parah dalam kejadian amuk di sebuah kapal tongkang, di kawasan dermaga Muara Tabuan, di sini hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata (gambar) berkata, dalam kejadian yang dilaporkan sekitar jam 2.31 pagi itu, mangsa yang cedera parah berusia dalam lingkungan 50-an manakala kedua-dua mangsa yang telah meninggal dunia berusia dalam lingkungan 20-an.
"Dalam kes ini, suspek utama yang merupakan lelaki warganegara Indonesia berusia 47 tahun telah berjaya ditangkap. Suspek ditangkap selepas menyerah diri di Balai Polis Bintawa sejurus selepas kejadian amuk itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut kes ini, Mancha berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat satu kejadian pergaduhan di sebuah kapal yang sedang berlabuh di Muara Tabuan, Kuching.
Jelasnya, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi kejadian dan turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan lanjut.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati tempat kejadian di sebuah kapal tongkang iaitu di dek pemandu.
"Pemeriksaan kemudiannya telah dilakukan dan mendapati terdapat dua lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di lantai dek. Pembantu pegawai perubatan yang turut hadir mengesahkan kedua-dua mangsa lelaki tersebut telah meninggal dunia," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan awal ke atas tubuh badan kedua-dua si mati mendapati terdapat kesan-kesan kecederaan diakibatkan tetakan objek tajam.
Dalam kejadian ini juga beliau memberitahu, salah seorang mangsa terawal telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.
"Walaupun mengalami kecederaan parah, tetapi keadaan terkini mangsa adalah stabil," dedahnya.
Dalam pada itu, Mancha berkata, Forensik IPK dan pasukan doktor pakar forensik HUS juga berada di lokasi untuk siasatan lanjut di tempat kejadian.
Tegasnya lagi, suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang mana jika sabit kesalahan membawa hukuman mati," ujarnya.
Menurutnya lagi, kes turut disiasat sebagai cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke HUS untuk saringan COVID-19 dan bedah siasat. "Polis memberi amaran kepada masyarakat awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," tegasnya.
Utusanborneo/2021/08/16
|