Duda dicekup polis, langgar dan bakar kereta di Batu Kawa
KUCHING: Seorang duda diberkas polis pada Sabtu selepas disyaki terlibat melakukan khianat dengan membakar sebuah kereta yang berlaku di Jalan Batu Kawa pada petang Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, suspek seorang pembeli besi buruk, 40, ditangkap sekitar jam 6.30 petang Sabtu di pekarangan Balai Polis Kota Sentosa.
"Hasil siasatan, kejadian berlaku kerana suspek mengesyaki pengadu, 26, hendak mencuri rim tayar kereta suspek. "Suspek merasa marah lalu melanggar kereta pengadu dari belakang menggunakan kereta suspek sehingga kenderaan pengadu masuk ke dalam longkang dan tidak dapat bergerak," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, suspek juga mengaku telah melarikan diri setelah melanggar kenderaan pengadu.
"Suspek telah kembali semula ke tempat kejadian dan mengambil sebuah tong yang mengandungi petrol lalu mencurah ke dalam kereta pengadu dan menyalakan api," jelasnya.
Kata Lim lagi, semasa kereta tersebut dalam kebakaran, datang seorang lelaki (saksi), 29, dan menghentikan motosikalnya untuk bertanya kepada suspek tentang kejadian tersebut.
"Semasa saksi bertanya dengan suspek mengenai kejadian, tiba-tiba datang sebuah kereta dan tiga lelaki keluar dari kenderaan tersebut lalu berlari untuk menyerang suspek.
"Suspek terus menaiki motosikal kepunyaan saksi tersebut seorang diri lalu melarikan diri," dedahnya.
Beliau berkata, suspek telah menghubungi saksi dan berjumpa dengan saksi lalu menyerahkan semula motosikal tersebut.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Dalam kejadian itu, beliau memberitahu, pengadu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM5,500.
Kes masih dalam siasatan.
utusanborneo.com.my/2021/08/16
|